fbpx

Kerani sekolah juarai Pantun Lakon BSN dan DBP 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ratna Atikah menjuarai Pantun Lakon BSN dan DBP 2024 yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang kerani sekolah, Ratna Atika Zainal Amin, 33, menjuarai Pantun Lakon 2024 anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN) bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) malam tadi.

Ratna Atikah juga turut dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik dan turut memenangi Kumpulan Terbaik.

Menurut wanita yang berasal dari Ipoh, Perak itu, dia tidak menyangka akan memenangi pertandingan tersebut kerana saingan daripada peserta lain sangat hebat.

“Syukur atas kemenangan ini. Saya tidak menyangka akan menjuarai Pantun Lakon BSN dan DBP 2024 kerana menyertainya sekadar mahu mencuba disebabkan minat mendalam dalam bidang lakonan.

“Sebelum ini saya pernah mengikuti persembahan teater, tetapi ini kali pertama menyertai pertandingan lakonan sambil berpantun dan ia memberi pengalaman yang sangat menarik,” kata pemegang Diploma Pengajian Video dan Filem dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau Perlis itu.

Sehubungan itu, Ratna Atikah berkata, pertandingan pantun sebegini sangat bagus diketengahkan kerana ia sudah semakin jauh dari jiwa anak muda dan pada masa yang sama dapat mempersembahkan keindahan pantun.

Pantun Lakon 2024 merupakan kali kedua dianjurkan oleh BSN dan DBP yang mana pertandingan ini menggabungkan elemen melafazkan pantun dan persembahan lakonan.

Ketua Pegawai Operasi BSN, Zarir Mohd Rawi berkata, pertandingan sebegini membolehkan seni warisan pantun terus relevan dan dapat menarik minat generasi muda dengan sentuhan moden melalui lakonan pentas.

“Program seperti ini sangat penting untuk mengekalkan kelangsungan bahasa dan sastera Melayu di tengah arus globalisasi yang semakin mencabar.

“Saya juga ingin berkongsi usaha kami di BSN untuk menggalakkan tabiat menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya melalui topik pantun lakon yang dipertandingkan,” katanya ketika berucap pada pertandingan Pantun Lakon 2024 malam tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamed dan Ketua Jabatan Komunikasi Strategik BSN, Aizurra Mellissa Muzammil.

Seramai enam peserta layak ke peringkat akhir pertandingan Pantun Lakon BSN dan DBP 2024 yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP malam tadi.

Juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM4,000 manakala naib juara menerima RM3,000 dan tempat ketiga menerima RM1,500.

Selain itu, pemantun terbaik menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 dan persembahan lakon terbaik menerima wang tunai sebanyak RM1,000. Hadiah untuk tiga tempat sagu hati pula berjumlah RM1,000 setiap seorang.

Pantun Lakon BSN dan DBP 2024 turut memperkenalkan kategori baharu iaitu persembahan terbaik berkumpulan yang mana jumlah keseluruhan pertandingan tersebut bernilai RM15,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI