fbpx

YBR dan YTSP Perlis komited tingkatkan tahap pendidikan pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hadir mencemar duli ke majlis ‘Flag Off’ Program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Mengikut Kecerdasan Pelbagai yang berlangsung di Stesyen KTM Arau, Perlis.

PETALING JAYA – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis mengadakan Majlis Pelancaran Program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Mengikut Kecerdasan Pelbagai.

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, YBR amat menyokong inisiatif pendidikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang untuk mempunyai peluang yang sama bagi mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

“Diharapkan inisiatif ini dapat memberi impak positif melalui kaedah pembelajaran di luar bilik darjah dalam memberi peluang memupuk kemahiran sosial dan interaksi serta pengalaman di persekitaran yang baharu.

“Program ini turut menyasarkan kumpulan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di negeri Perlis atau yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan akses pendidikan berkualiti termasuk bahan pembelajaran, kelas tambahan dan persekitaran kondusif untuk aktiviti pembelajaran,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Program tersebut telah disertai 358 pelajar yang bakal menduduki SPM serta 92 orang guru dan fasilitator.

Ia merupakan salah satu inisiatif dibawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Sementara itu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis telah mencemar duli ke majlis tersebut yang bertempat di Stesen KTM Arau, Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, program seperti itu perlu kerap dianjurkan supaya pelajar mencapai kecemerlangan luar dan dalam kelas bagi memastikan matlamat kecemerlangan pelajar tercapai.

“Program seperti ini dapat membantu pelajar untuk tidak terjebak dengan permasalahan sosial.

“Sesungguhnya murid-murid pada hari ini merupakan pewaris yang bakal mendukung impian dan harapan negeri dan juga negara satu hari nanti,” titah baginda.

Di samping itu, objektif lain bagi perlaksanaan program tersebut adalah untuk mengurangkan jurang perbezaan pencapaian sekolah-sekolah di bandar dan diluar bandar serta faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi murid seperti latar belakang sosioekonomi, kualititi pengajaran dan kemudahan sekolah.

Turut hadir pada program tersebut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal; Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Pengurus Jabatan Program YBR, Muhammad Khalil Kader Mydin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI