fbpx

Sinar baharu kanak-kanak gigi rongak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENERUSI rawatan revascularisation, salur akar gigi tidak matang boleh dihidupkan kembali. – Gambar hiasan

Memiliki gigi sihat dan lengkap merupakan anugerah Tuhan yang amat berharga.

Malah, kempen ‘Gigi Sihat Sepanjang Hayat’ oleh Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan betapa pentingnya setiap individu menjaga gigi sebaiknya agar mampu berfungsi seumur hidup.

Antara fungsi utama gigi adalah untuk mengunyah makanan, pertuturan dan kecantikan.

Struktur anatomi gigi terbahagi kepada enamel iaitu lapisan paling luar dan dentin (lapisan kedua pada gigi).

Dentin merupakan struktur berwarna putih kekuningan yang memberikan identiti unik pada gigi setiap individu.

Pada bahagian tengah suatu gigi, terdapat struktur yang sangat penting iaitu pulpa. Pulpa boleh diibaratkan sebagai ‘jantung’ untuk gigi.

Di dalamnya terletak komponen penting seperti kapilari darah dan sistem saraf yang berfungsi memberi nutrisi kepada gigi agar ia kekal ‘hidup’.

Kecederaan (trauma) pada gigi, penyakit karies (gigi berlubang) dan penyakit gusi boleh menyebabkan gigi yang ‘hidup’ menjadi ‘mati’.

Perkara ini terjadi kerana kapilari darah atau saraf di dalam sistem pulpa yang terjejas boleh menjadi tempat pembiakan bakteria seterusnya menyebabkan jangkitan kuman.

Jika ini berlaku, pesakit akan mengalami kesakitan serta nanah gusi.

Prosedur revascularisation melibatkan proses penyahkuman pada salur akar gigi.
– Gambar hiasan

Dua perkara yang boleh dilakukan pada gigi sudah ‘mati’ iaitu rawatan salur akar atau cabut.

Sekiranya gigi kekal terpaksa dicabut, maka pesakit perlu memakai gigi palsu bagi menggantikan ruang gigi yang kosong.

Untuk pengetahuan umum, rawatan salur akar gigi kekal yang ‘mati’ untuk pesakit kanak-kanak adalah lebih rumit dan kompleks.

Ini berikutan akar gigi kekal yang sudah tumbuh pada pesakit kanak-kanak mungkin berada pada keadaan ‘tidak matang’ iaitu hujung akar gigi masih belum tutup sepenuhnya.

Selain itu, proses penebalan dentin pada akar gigi yang ‘mati’ juga akan terbantut, sekali gus mengakibatkan gigi rapuh dan mudah patah.

Ibarat pokok muda berbanding pokok lebih tua, akar tumbuhan muda masih belum bertapak kukuh di dalam tanah.

Lazimnya, akar gigi kekal akan matang dalam tempoh tiga tahun selepas ia tumbuh.

Revascularisation telah memberi sinar baharu dalam bidang rawatan salur akar untuk gigi tidak matang, umpama menghidupkan gigi sudah mati.
Teknik ini merupakan antara cabang ilmu sains sel stem.

Secara ringkasnya, prosedur rawatan revascularisation melibatkan proses penyahkuman (disinfeksi) salur akar menggunakan bancuhan antibiotik tertentu.

Seterusnya, ‘luka’ akan sengaja dilakukan di hujung akar dengan menggunakan alatan tajam bersteril bagi menggalakkan pendarahan memenuhi salur akar gigi.

Kewujudan darah yang kaya dengan sel stem di dalam salur akar akan berfungsi sebagai sistem pemulihan dalaman.

Ia berpotensi mewujudkan fungsi lebih khusus seperti sistem pulpa.

Kesannya, proses penebalan dentin dapat diteruskan dan hujung akar gigi yang terbuka akan beransur tutup dan menjadi matang.

Justeru, amat penting sekiranya pesakit kanak-kanak yang mengalami kecederaan atau karies pada gigi kekal dirujuk kepada pakar pergigian pediatrik bagi mendapatkan nasihat dan rawatan sewajarnya.

Amat kasihan sekiranya kanak-kanak tersebut perlu memakai gigi palsu di umur muda jika gigi kekal mereka terpaksa dicabut kerana lewat mendapat rawatan daripada doktor gigi.

Bersama kita jayakan kempen ‘Gigi Sihat Sepanjang Hayat’ agar kualiti hidup sentiasa berada pada tahap optimum seumur hidup.

Dr. Fadzlinda Baharin merupakan Pensyarah Pergigian Pediatrik di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI