fbpx

‘Orang buat hal, Drama Band buat lagu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aepul tidak menyangka akhirnya dapat mengadakan konsert sulung selepas 14 tahun Drama Band berkecimpung dalam dunia seni tanah air.

AKHIRNYA, selepas 14 tahun berkecimpung dalam industri muzik, Drama Band berjaya mencapai impian dengan penganjuran konsert sulung yang diberi nama The Hardest Malam Drama di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Penganjuran konsert Drama Band yang dianggotai oleh Aepul Roza (vokalis), Adib (gitar), Padel (gitar), Daus (bass), Syahmir (keyboard) dan Faeez (dram) dianggap berjaya kerana dibanjiri hampir 2,000 penonton.

“Bukan mudah dan bukan murah untuk buat konsert ini. Jika ingin dicerita terlalu banyak cabaran yang terpaksa kami lalui untuk menjayakan konsert ini.

“Ditambah dengan persiapan kurang dua bulan. Apapun saya berterima kasih kepada pihak penaja Alha Alfa Cosmetics yang sudi bekerjasama dan juga peminat yang membeli tiket. Terima kasih.

“Sebenarnya inilah impian kami untuk menganjurkan sebuah konsert. Sebenarnya saya masih tidak percaya kami percaya lakukannya,” kata Aepul ketika di atas pentas.

Dalam pada itu, Aepul juga sempat berkongsi perjalanan yang dilalui oleh Drama Band sejak 2010 selepas mereka menyertai pertandingan Twisties Bingit Hot FM.

Sebelum dikenali ramai, Drama Band menerima penolakan demi penolakan tetapi mereka tidak pernah berputus asa.

“Kami biasa kena reject. Kadang-kala persembahan sudah lock tetapi dibatalkan pada saat akhir.

“Mungkin kerana kami tidak tampan (ketawa). Tetapi itulah yang dihadapi Drama Band selama bertahun-tahun sebelum akhirnya diterima,” tutur Aepul.

Antara aksi berani vokalis Drama Band iaitu Aepul ketika konsert sulung mereka baru-baru ini. – SADDAM YUSOF

Inspirasi

Selain vokal yang mantap, Aepul yang juga juara program The Hardest Singing Show turut menyelitkan elemen-elemen yang diinspirasikan daripada program tersebut antaranya, menyanyi sambil melompat atas trampolin, menari dan bermain dram.

Walaupun persembahan Drama Band agak berbeza dengan konsert rock yang biasa, tetapi rata-rata peminat menerima baik usaha yang dilakukan untuk memberi pengalaman berbeza.

Persembahan berdurasi tiga jam dengan 23 buah lagu itu terbahagi kepada tiga set iaitu drama, galau dan rock.

Selain Drama Band, konsert tersebut turut diserikan dengan persembahan romantis Aepul dan isterinya, Leez Rosli yang mendendangkan lagu Sampai Menutup Mata nyanyian asal oleh Acha Septriasa.

Tidak dinafikan Leez yang juga bekas peserta program realiti, Akademi Fantasia itu berjaya memukau penonton dengan vokalnya yang merdu.

Selain Leez, Aepul turut berduet dengan seorang penyanyi cilik yang berusia 13 tahun, Kiki Fateeha daripada program The Chosen One dan juga Putera Muhammad selaku penyanyi jemputan.

“Kiki bakatnya cukup luar biasa, walaupun masih kecil vokalnya cukup besar dan tidak ketinggalan saya juga menjemput sahabat saya Putera Muhammad. Kami sama-sama terlibat dalam program The Hardest Singing Show jadi dia antara orang yang cukup dekat dengan saya,” kongsi Aepul.

Drama Band yang cukup popular sebagai band yang mendendangkan lagu sindiran terhadap isu semasa cukup popular dengan lagu ILU, FYP, Drama, Babak Pertama dan Biarkanlah.

“Kalau orang buat hal, Drama Band buat lagu,” kata Aepul sambil disambut dengan gelak tawa daripada penonton.

Selain daripada itu bagi menyuntik energi dalam konsert Drama Band turut itu membawa lagu popular penyanyi lain seperti Melompat Lebih Tinggi (Sheila On 7), Hapus Aku (Nidji), Mentera Semerah Padi (M.Nasir), Bunga Angkasa (Terra Rossa), Nakal (Gigi) dan It’s My Life (Bon Jovi).

Secara keseluruhan konsert sulung Drama Band yang merupakan penutup siri jelajah band tersebut tahun ini cukup sukses.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI