SAINGAN Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) musim ini bakal menjanjikan aksi menarik apabila membariskan juara bertahan, Johor Tigris dan juara baharu STL, Kuala Lumpur (KL) Thunders dalam Kumpulan A.
Selain Johor Tigris dan KL Thunder, Kumpulan A turut dibarisi pasukan juara serta naib juara daripada saingan Divisyen 1, Bomba Fighters dan Putrajaya Cyborg.
Dalam saingan Kumpulan B pula, naib juara STL, ATM Guardians akan berentap dengan Kelantan Warriors, Negeri Sembilan Antlers dan Penang Black Panthers.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, walaupun KL Thunder dan Johor Tigris dianggap pilihan, namun mereka tidak boleh memandang rendah keupayaan dua pasukan Divisyen 1 itu.
“Jika dilihat atas kertas, KL Thunder dan Johor Tigris mungkin berdepan laluan mudah dalam saingan Kumpulan A tetapi harus diingat Bomba dan Putrajaya sudah lama melakukan persiapan rapi.
“Bagi Kumpulan B, Penang Black Panthers berdepan laluan sukar kerana pemain-pemain muda mereka perlu berdepan pasukan lain yang lebih berpengalaman,” katanya sebaik tamat majlis undian semalam.
Sementara itu, pengurus KL Thunder, Zambri Abdul Rahman tidak mahu barisan pemainnya memandang remeh saingan kali ini biarpun hanya berdepan Bomba Fighters dan Putrajaya Cyborg.
“Memang sasaran utama kami adalah untuk buru kejuaraan tetapi KL Thunder tetap hormati semua pasukan. Kami tidak memandang rendah keupayaan pasukan-pasukan lain,” ujarnya.