LEBIH sedekad bergelumang dalam sepak terajang industri hiburan tempatan, penyanyi kelahiran negeri Di Bawah Bayu, Sabah ini dilihat masih bersinar dan diterima peminat.
Buktinya, walaupun kerjaya seninya agak sedikit perlahan lebih-lebih lagi selepas melahirkan anak ketiganya pertengahan tahun lalu, saban waktu Adira tetap ada buah tangan baharu.
Terkenal dengan jolokan Ratu Soundtrack, naib juara program realiti Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu terus-menerus diberi kepercayaan menyanyikan lagu runut bunyi kebanyakan drama rantaian tempatan naskhah filem juga tidak terkecuali.
Jika dihitung, sehingga kini sudah lebih 10 buah single nyanyiannya dijadikan runut bunyi dan menjadi siulan pendengar tanpa mengira usia.
Terbaharu, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 30, hadir dengan single terbaharu berjudul Kesempatan Bagimu yang turut dipilih sebagai runut bunyi.
Lagu terbitan Nova Music Malaysia ciptaan gandingan komposer-komposer hebat, Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh tersebut kini melatari drama 28 episod berjudul Tercipta Satu Ikatan siaran Astro Ria bermula 20 Disember lalu.
“Ada ketika saya rasa bagai ada rahmat tersembunyi dengan rezeki kurniaan Tuhan sehingga kini.
“Tetapi dalam hati kadangkala terbit juga persoalan, tak jemukah penonton? Lagu runut bunyi sahaja pasti Adira, dah macam tiada penyanyi lain,” ujarnya sebagai pembuka bicara kepada HibGlam.
Ujarnya, biarpun industri sedang diserikan dengan kehadiran bakat baharu, kepercayaan dan rezeki untuk membawakan lagu runut bunyi masih menyebelahinya.
Tambah ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, dia mengambil dan melihat perkara tersebut dari sudut positif, sekali gus menjadikan peluang sebegitu sebagai penghormatan peribadi buat dirinya.
“Tahun 2020 saja sudah dua buah lagu runut bunyi saya nyanyikan.
“Sebelum ini, saya hadir dengan lagu Maaf untuk drama Maaf Tak Indah siaran slot Samarinda TV3 pada Februari lalu,” katanya yang menyatakan single Kesempatan Bagimu siap dirakam sepenuhnya pada November lalu.
Jelasnya, single terbaharu tersebut merupakan kerjasama ketiga bersama Nova Music selepas meletup menerusi dua buah lagu runut bunyi, Pujaan Hati dan Maaf.
Ratu Soundtrack
Diaju persoalan tentang jolokan Ratu Soundtrack yang melekat pada wajahnya, Adira secara peribadi tidak menganggap gelaran tersebut membebankan, malah menjadi nilai tambah buatnya.
“Ada orang suka lagu nyanyian saya melatari drama televisyen, itu sudah cukup baik. Lagu soundtrack ini menyuntik dan menjentik emosi penonton. Saya okey dengan Ratu Soundtrack.
“Saya bersyukur dengan pengiktirafan sebegitu. Bila difikir daripada skop yang lebih luas, itu adalah peluang dan rezeki untuk saya terus kekal relevan di persada seni.
“Untung apabila lagu dipilih jadi runut bunyi kerana dalam tempoh siaran drama itu disiarkan dalam televisyen atau pelantar digital, lagu itu akan terus dimainkan dan secara tidak langsung akan cepat diingat,” tuturnya.
Tambah Adira, selama menceburi dalam dunia muzik, dia sudah terbiasa dan jatuh cinta dengan lagu nyanyian sendiri.
“Tak kenal maka tak cinta. Malah, peluang bekerjasama dengan komposer sedia ada dan yang baru juga menjadi ruang terbaik untuk saya mencabar diri dan terus belajar menyanyi.
“Lebih 10 tahun jadi artis bukan alasan untuk saya terus memeluk tubuh dan rasa selesa dengan apa yang ada,” katanya.
Dalam perkembangan lain, sejak awal tahun ini Adira juga mula menceburi perniagaan menjual barangan terpakai atau bundle dan vintaj.
“Saya selesa mencuba nasib dalam bidang baru ini. Ada kemungkinan saya akan buat siaran langsung menjual barang bundle dalam lama sosial. Tak perlu malu pun, janji rezeki halal. Tak kisahlah siapapun kita.
“Di saat kita diuji dengan pandemik Covid-19 ini, ramai yang terkesan dan melibatkan diri dengan pelbagai perniagaan alternatif untuk bangkit semula meneruskan survival,” katanya menutup perkongsian.