AMSTERDAM – Ketua jurulatih Belanda, Ronald Koeman memiliki perancangan tersendiri mengenai bagaimana ingin menggunakan pemain pertahanan, Micky van de Ven dalam dua aksi Liga Negara-Negara Eropah menentang Hungary dan Jerman minggu ini.
Beliau berkata, pemain Tottenham Hotspur itu memiliki kemampuan untuk bermain di posisi bek tengah atau kiri berdasarkan kualiti Van de Ven dari segi kepantasan serta kawalan bola.
Pemain berusia 23 tahun itu membuktikan dia mampu menggalas tugasan yang bakal diberikan Koeman selepas menjadi watak penting ketika membantu Spurs menewaskan Manchester United hujung bulan lalu.
Justeru, dia sekali lagi dijangka menjadi pemain penting buat Belanda menjelang aksi Liga Negara-Negara Eropah menentang Hungary yang dijadualkan berlangsung di Puskas Arena awal pagi esok.
“Dia (Van de Ven) merupakan pemain Belanda dan sudah tentu dia perlu memberi tumpuan terhadap dua posisi tersebut. Saya percaya dia memiliki kemampuan untuk mengisi posisi itu sekiranya diperlukan.
“Apa yang pasti, dia memiliki kelebihan dari segi larian pantas serta kualiti kawalan bola. Kedua-dua elemen itu sangat penting untuk benteng pertahanan dalam bola sepak era moden seperti sekarang,” kata Koeman.
Dalam pada itu, Van de Ven juga mengakui sudah bersedia sepenuhnya untuk bermain di mana-mana posisi yang diperlukan selain tidak sabar bergandingan dengan kapten The Oranje, Virgil van Dijk. – AGENSI