fbpx

Young Tigers turun demi maruh Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VIKNESWARAN (kiri) menunjukkan senarai pemain yang terpilih mewakili negara ke SOJC bermula minggu depan.

BIARPUN tidak diletakkan sasaran spesifik tetapi skuad hoki remaja negara tetap bersedia untuk memberikan aksi terbaik demi membanggakan Malaysia pada saingan Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru bermula 18 hingga 26 Oktober ini.

Ketua jurulatih Young Tigers, I. Vikneswaran yakin 20 pemain terpilih mampu memberi saingan sengit pada kejohanan berprestij itu dalam misi menamatkan kemarau 13 tahun bergelar juara sejak kali terakhir melakukannya sewaktu penganjuran edisi pertama pada 2011.

“Saya mahukan yang terbaik daripada setiap pemain. Kita akan melangkah satu demi satu peringkat tetapi matlamat utama ialah bermain dengan penuh hormat dan maruah. Kami mahu mempamerkan permainan berkualiti,” katanya.

Vikneswaran menekankan persiapan mental dan fizikal pemain sangat penting, apatah lagi setelah sebulan menjalani latihan intensif termasuk latihan bersama penolong jurulatih baharu skuad kebangsaan, Sohail Abbas yang merupakan pakar pukulan sudut penalti Pakistan.

“Pemain-pemain sangat berdedikasi, disiplin dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Mereka tidak mudah menyerah kalah dan kini cabaran utama adalah bagaimana kita dapat menyatukan mereka sebagai satu unit yang berkesan di atas padang,” tambahnya.

Mengulas tentang cabaran bakal dihadapi, Vikneswaran menyedari kekuatan lawan seperti Great Britain yang merupakan pasukan elit dengan pengalaman di Sukan Olimpik Remaja dan Piala Dunia Remaja.

“Cabaran bukanlah mudah terutama apabila menentang pasukan kuat seperti Great Britain yang telah layak ke Piala Dunia Remaja pada Jun lalu. Kita tidak ke sana sekadar untuk lengkapkan jadual atau huni tangga tercorot. Matlamat kami lebih tinggi daripada itu,” tegasnya.

Bagi memantapkan persediaan, Young Tigers akan mengadakan tiga aksi persahabatan menentang New Zealand, Great Britain dan India sebelum perlawanan sebenar bermula.

“Ini adalah peluang keemasan untuk menilai tahap permainan sebelum kejohanan bermula. Perlawanan persahabatan ini akan memberi kami gambaran jelas tentang kemampuan sebenar pasukan,” ujar Vikneswaran.

Pemain-pemain terpilih untuk SOJC merupakan mereka yang telah menonjol dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) baru-baru ini dengan menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat negeri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN