PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung kemalangan maut tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu, malam tadi.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedia membantu dari segi kepakaran yang diperlukan oleh pihak berkuasa berkenaan.
“Kita bersedia membantu dari aspek pandangan teknikal dan perubatan berdasarkan bukti dalam siasatan yang dijalankan pihak berkuasa itu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian susulan dakwaan mengaitkan individu yang merempuh tiga mangsa itu dikatakan tidak siuman.
Ditanya sama ada dakwaan itu betul, Dzulkefly bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu.
“Saya kira kes itu masih dalam siasatan polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE