PETALING JAYA – Peneraju persatuan fesyen dari lebih 50 negara memeterai memorandum bagi menubuhkan Persekutuan Fesyen Antarabangsa BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).
Memorandum tersebut dimeterai pada Sidang Kemuncak Fesyen BRICS+ yang berlangsung pada 3 hingga 5 Oktober di Moscow.
Timbalan Datuk Bandar Moscow, Natalya Sergunina, berkata inisiatif penubuhan ini mencerminkan matlamat bersama dan potensi besar pertumbuhan yang dimiliki bersama rakan sekerja globalnya.
Kata beliau, deklarasi tersebut menetapkan beberapa objektif teras iaitu menyokong bakat tempatan, mempromosikan fesyen lestari, memupuk pertukaran budaya dan mewujudkan platform gabungan pasaran bmeteraaharu menerusi projek pendidikan dan maklumat.
Jelasnya, inisiatif ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi baharu, pemeliharaan identiti budaya serta sokongan seni dan kraf tradisional.
“Kami komited untuk menyediakan platform global dan acara tempatan buat golongan berwawasan ini bagi memastikan hasil kerja kreatif mereka dihargai di peringkat antarabangsa.
“Matlamat kami adalah untuk menggalakkan amalan kelestarian dan mesra alam, serta berusaha untuk melaksanakan kaedah telus yang akan mengurangkan kesan karbon industri secara ketara.
“Fesyen sederhana yang bercirikan penggunaan dan pengeluaran yang bijak, bakal menjadi nadi kepada agenda BRICS IFF dalam usaha kita untuk mengurangkan kesan alam sekitar fesyen,” katanya dalam kenyataan.
Memorandum untuk menubuhkan Persekutuan Fesyen Antarabangsa BRICS dimeterai oleh barisan tokoh berpengaruh termasuk Ketua Pegawai Eksekutif minggu fesyen, peneraju persatuan fesyen dan tekstil.
Selain itu ia turut dimeterai oleh pemimpin akademik dari negara seperti Malaysia, Indonesia, India, Singapura, Vietnam, Afrika Selatan, Russia, Ethiopia, Mesir, Sepanyol, Amerika Syarikat, Ghana, Tanzania, Jordan, Ecuador, Paraguay dan Kenya.
Persekutuan baharu tersebut bermatlamat untuk mewujudkan pusat pengaruh baharu, mengukuhkan hubungan antarabangsa, meningkatkan kemampanan industri serta menyediakan peluang kepada bakat fesyen NewGen untuk berkembang.
Sidang Kemuncak berkenaan dihadiri oleh wakil dari lebih 100 negara bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai acara fesyen terbesar dalam pasaran baharu dan sedia ada.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pereka Fesyen Malaysia, Jay Ishak berkata penubuhan tersebut termasuk Malaysia, mampu merevolusikan industri fesyen dengan memacu pertumbuhan, inovasi dan kerjasama dalam kalangan negara anggota.
Katanya, ia boleh meningkatkan perdagangan dan pelaburan, menyediakan akses kepada pasaran baharu, serta meningkatkan kelebihan daya saing.
“Selain itu penubuhan ini memudahkan perkongsian pengetahuan, penyelidikan bersama dan pada masa yang sama menggalakkan pertukaran budaya, kepelbagaian dan keterangkuman,” ujarnya.
Bagi Pengerusi Majlis Rekaan Fesyen India, Sunil Sethi pula, keperluan untuk mempunyai persekutuan fesyen negara-negara baharu sudah lama tertangguh.
Ujarnya, sektor jenama, pereka fesyen dan pasaran berhadapan dengan cabaran serupa iaitu daripada gangguan rantaian bekalan kepada isu alam sekitar yang lebih mudah diselesaikan bersama.
“Dunia fesyen tertumpu kepada beberapa ratus jenama antarabangsa, justeru pasaran baharu memerlukan platform mereka sendiri supaya suara kita diberi perhatian,” katanya. – KOSMO! ONLINE