fbpx

Cemas air semakin naik, ular masuk rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk terjejas banjir terpaksa berpindah keluar dari rumah di Kampung Alor Madi di Anak Bukit, Alor Setar semalam. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

ALOR SETAR – Sebahagian penduduk Anak Bukit, di sini yang tidak berpindah keluar dari rumah akibat banjir terpaksa berbuat demikian apabila limpahan Sungai Anak Bukit menjadi semakin serius, selain kehadiran haiwan berbisa.

Menurut penduduk Kampung Alor Madi, Saniyah Murad, 52, pada awalnya dia sekeluarga tidak berpindah kerana keadaan banjir di kawasan rumah tidak teruk.

“Air masuk perlahan-lahan sejak Isnin lalu, namun malam kelmarin berlaku hujan lebat sekali lagi menyebabkan bahagian dapur dan bilik tidur digenangi air.

“Pagi semalam, air semakin naik dan paling mencemaskan apabila anak menjerit beritahu ada ular kapak di dalam bilik air,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, dia dan suami kemudian membuat keputusan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila melihat Sungai Anak Bukit yang semakin deras dan melimpah.

“Semua barang elektrik kami angkat ke tempat tinggi dan harap banjir kali ketiga ini tidak teruk seperti kejadian pertama. Namun, kalau tengok keadaan cuaca yang mendung dan ramalan air pasang besar pada 18 Oktober ini, mungkin keadaan boleh jadi lebih teruk.

“Apa pun, bagi saya keselamatan keluarga paling penting kerana harta boleh dicari, cuma saya teringatkan 12 ekor kucing di rumah. Suami akan pergi tengok kucing-kucing itu setiap hari untuk beri makan,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Rozaini Ahmad, 49, berkata, dia sekeluarga juga tidak berpindah awal kerana keadaan banjir tidak teruk, selain bapa yang uzur enggan keluar kerana sukar bergerak.

“Ayah bergerak guna kerusi roda, jadi kalau boleh dia memang tak mahu pindah kerana susah nak bergerak selain dia kata tidak mahu kacau anak-anak.

“Walau bagaimanapun, kami sekeluarga terpaksa juga berpindah keluar kerana rumah sudah dimasuki air. Buat sementara, kami tinggal di rumah adik di Alor Setar,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk kampung berhampiran iaitu Kampung Alor Ganu, Zakaria Darus, 68, berkata, hujan lebat di kawasan hulu iaitu di daerah Padang Terap menyebabkan air sungai turun ke daerah Kubang Pasu seterusnya ke Kota Setar.

“Keadaan itu menyebabkan banyak kawasan terutama yang terletak di tepi sungai dilanda banjir. Biasanya kalau hujan hari-hari di sini pun, air tidak akan naik,” katanya.

Katanya, dia belum berpindah ke PPS dan kini tinggal di tingkat atas rumah.

“Rumah banyak barang, risau juga kalau ada orang pecah masuk. Jadi, buat masa ini saya standby dahulu di rumah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI