DUNGUN – Kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda CRV dipandu seorang wanita dikenal pasti merempuh empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun sehingga menyebabkan tiga daripada mereka meninggal dunia malam ini.
Sewaktu kejadian, kesemua mangsa dikenali sebagai Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; Khairil Anwar Jamaludin, 20; Mohd. Akmal Tukirin, 25 dan Mohd. Ammar Danish Mohd. Ridhuan, 20, sedang menaiki dua motosikal jenis Yamaha LC 135 dan Yamaha Y15.
Difahamkan mereka dalam perjalanan pulang ke kampus sebaik selesai makam malam bersama.
Sebaik tiba di pintu hadapan kampus, dua motosikal dinaki kesemua mangsa tiba-tiba dirempuh dari arah belakang oleh kenderaan Honda CRV terbabit.
Rempuhan itu menyebabkan empat pelajar tersebut tercampak manakala kenderaan berkenaan pula terbabas memasuki parit di tepi jalan.
Tiga mangsa iaitu Ku Adib Aizad, Khairil Anwar dan Mohd Akmal meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mereka telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut.
Seorang mangsa yang cedera, Mohd. Ammar Danish pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama sebelum bakal dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir yang dihubungi mengesahkan kejadian.- KOSMO! ONLINE