PUTRAJAYA – Permohonan semakan hukuman mati bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri yang disabitkan hukuman gantung atas kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu akan didengar di Mahkamah Persekutuan esok.
Keputusan sama ada permohonan semakan hukuman mati itu dibenar atau sebaliknya akan ditentukan oleh panel hakim yang akan mendengar semakan itu.
Azilah, 48, membuat permohonan semakan hukuman mati berikutan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lalu.
Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.
Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun berdepan sebatan minimum sebanyak 12 kali.
Untuk rekod Azilah telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati pada 2009 bersama seorang lagi bekas anggota polis iaitu Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi esoknya.
Seorang lagi individu iaitu penganalisis politik, Abdul Razak Baginda telah dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan tersebut oleh mahkamah yang sama.
Bagaimanapun pada 2013, Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah dan Sirul Azhar atas pertuduhan tersebut.
Kemudian pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Azilah dan Sirul dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka seperti mana yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Pada 2020, Azilah sekali lagi tidak bernasib baik apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk dibicarakan semula dan semakan sabitan terhadapnya.
Pada 2021, dalam perbicaraan saman sivil yang dikemukakan keluarga Altantuya terhadap Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu Azilah secara sukarela memberitahu pasukan penyiasat mengenai lokasi Altantuya ditembak dan diletupkan pada 2006.
Pegawai penyiasat polis Asisten Superintendan Koh Fei Cheow semasa memberi keterangan berkata, beliau yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) telah diarahkan menyoal siasat Azilah pada 11 November 2006.
Sebelum ini, media melaporkan Azilah merupakan 900 banduan akhir yang telah memohon semakan hukuman gantung.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut memaklumkan secara keseluruhan terdapat lebih 1,060 banduan akhir termasuk Sirul Azhar yang disabit dengan kesalahan sama. – KOSMO! ONLINE