MANCHESTER – Legenda Manchester United, Rio Ferdinand menganggap Eric Bailly sebagai pemain paling ideal bergandingan dengan Harry Maguire di bahagian pertahanan pasukan itu.
Ferdinand menyifatkan, satu kerugian besar jika pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer tidak mengekalkan nama Bailly dalam kesebelasan utama berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan bek tengah berusia 26 tahun itu.
Bailly berjaya mewujudkan persefahaman mantap dengan Maguire yang membolehkan The Red Devils kini menduduki tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) selain mempunyai jumlah mata sama dengan pendahulu liga yang juga juara bertahan, Liverpool.
“Ramai orang tidak sedar kecemerlangan United sekarang disebabkan pengaruh Bailly di bahagian pertahanan. Bailly mempunyai kelajuan untuk membantu Maguire seperti dibuktikannya dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Masalah sekarang hanyalah tahap kecergasan Bailly. Dia sering mengalami kecederaan yang menyukarkannya untuk terus mengekalkan prestasi terbaik.
“Jika Bailly dan Maguire dapat mengurangkan kesilapan mudah, saya percaya ini adalah gandingan terbaik buat United musim ini,” kata Ferdinand.
Sebagai rekod, Bailly jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama sejak berhijrah ke Old Trafford daripada Villarreal dengan yuran perpindahan bernilai £30 juta (RM164.3 juta) pada Jun 2016. – AGENSI