fbpx

‘Nak menang Oscar boleh, tapi jangan perkecilkan anugerah tempatan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Naim berkata, tiada salah memasang impian untuk menggenggam trofi Oscar namun itu semua perlu disertakan dengan usaha keras. – Nurul Najwa Hasran

PETALING JAYA – Pelakon, penyanyi dan komposer, Naim Daniel berasakan tidak salah untuk selebriti tempatan memasang angan untuk memenangi Anugerah Academy atau Oscar tetapi jangan sisihkan anugerah tempatan.

Menurut Naim atau nama lengkapnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 27, menjadi satu kerugian jika artis tempatan sendiri menyisihkan anugerah yang dianjurkan dalam negara.

“Saya rasa tidak elok jika kita nak memperkecilkan anugerah tempatan sama juga seperti kita memperkecilkan impian orang untuk meraih Oscar.

“Tidak kisahlah anugerah apa sekalipun yang dianjurkan di Malaysia, jika anda dapat maknanya orang mengiktiraf bakat anda serta kerja anda. Selepas itu baru anda boleh memasang impian yang lebih tinggi.

“Jadi saya rasa tidak adil jika mahu memperkecilkan anugerah tempatan dan membandingkan dengan anugerah di luar negara,” katanya sewaktu ditemui pada sidang media pelancaran single baharu kumpulan Muah, di sini, kelmarin.

Dalam masa yang sama, kata pelantun lagu Sumpah itu, setiap individu yang berimpian untuk meraih sesuatu penghargaan atau anugerah haruslah disertakan dengan usaha keras.

“Tidak kisah tua atau muda. Baru atau lama. Siapa yang berusaha keras dan berbakat pasti akan meraih kejayaan.

“Lihat sahaja Puteri Balqis yang meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik Asia di Anugerah Televisyen Asia sewaktu masih kanak-kanak.

“Saya sendiri teringin nak menang Oscar kalau lakonan saya betul-betul hebat satu hari nanti,” jelasnya.

Langkah Naim untuk meraih anugerah besar seperti Oscar dimulakan dengan kejayaannya meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik (Malaysia) pada Asian Academy Creative Awards menerusi drama I.D.

Kongsi Naim, dia sendiri sebenarnya tidak menyangka akan meraih anugerah tersebut.

“Saya pun pada mulanya tak tahu saya menang sehinggalah diberitahu oleh peminat. Pengumuman tentang kemenangan itu dibuat menerusi hantaran dalam Instagram.

“Kemenangan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk berkarya.

“Saya percaya kemenangan ini adalah hasil sokongan rakan-rakan, pihak media dan sebagainya. Sokongan kalianlah yang membuatkan saya nampak hebat,” ujarnya.

Majlis penyerahan trofi anugerah tersebut akan diadakan pada bulan Disember depan di Singapura. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI