KOTA BHARU – Kegembiraan empat remaja lelaki yang bermandi-manda di Gate Air Pangkal Kalong, Kok Lanas di sini berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas di kawasan tersebut petang tadi.
Muhammad Aqif Aisar Azrie Faisal, 13, disedari lemas oleh rakannya kira-kira pukul 5 petang sebelum remaja itu memanggil seorang penduduk kampung untuk membantu mencari mangsa.
Saksi kejadian, Aida@Aidi Mohamad Noor, 56, berkata, seorang remaja datang dalam keadaan cemas di rumahnya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum memaklumkan rakannya lemas di pintu air itu.
Menurutnya, dia terus bergegas ke lokasi kejadan sebelum melihat seorang lagi remaja yang meminta tolong untuk menyelamatkan dua rakannya yang lemas ketika sedang mandi.
“Salah seorang remaja yang lemas dilihat sempat berpaut pada tali yang dipegang oleh rakan mereka manakala Muhammad Aqif pula terus dihanyutkan air.
“Saya terus terjun ke dalam air dan cuba menyelamatkannya, namun gagal kerana arus air terlalu deras di kawasan pintu air,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Hamdan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.09 petang sebelum 15 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air Balai Bomba Pengkalan Chepa dan Machang bergegas ke lokasi kejadian.
“Usaha mencari mangsa dijalankan, tetapi remaja itu masih gagal dijumpai. Anggota bomba masih menjalankan operasi untuk mencari remaja itu di sekitar kawasan pintu air tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE