PETALING JAYA – Seorang ibu sanggup mengayuh basikal selama 20 minit bagi menjemput ambulans ke rumah untuk menyelamatkan anaknya yang diserang sawan.
Menerusi perkongsian @danialhaikall_ individu yang dipercayai berada dalam ambulans itu,, mereka menerima panggilan dari hospital sebelum bergegas ke alamat tersebut.
Bagaimanapun, setibanya di lokasi berkenaan, pihak ambulans menghubungi pemanggil semula kerana rumah yang sukar untuk dicari.
Setelah menunggu selama 15 hingga 20 minit, petugas kesihatan yang berada di dalam ambulans terkejut melihat si ibu datang menunggang basikal dengan nafas yang tercungap-cungap.
“Si ibu minta maaf sebab lambat lalu dia tunjukkan kami jalan ke rumahnya. Saya cuba pujuk dia naik ambulans dan (dalam masa sama) saya bawa basikal tetapi dia menolak.
“Ibu kata ‘tak apa, saya boleh kayuh’ dan kami ikut. Rumahnya agak jauh ke dalam di kawasan ladang kelapa sawit,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tambah lelaki itu, dia sebak melihat pengorbanan wanita tersebut yang sanggup berbasikal dalam keadaan gelap demi anaknya yang sedang sakit.
Sementara itu, di dalam video tersebut kelihatan ibu yang memakai baju berwarna merah dan berkain batik mengayuh basikal dalam keadaan gelap dengan kenderaan ambulans berada di belakangnya.
Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 490,300 tontonan, 36,300 tanda suka dan 2,874 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang sebak melihat kegigihan wanita tersebut sekali gus mendoakan agar urusan seluruh keluarganya itu dipermudahkan.
“Nyawa direlakan demi lahirkan anak. Setakat basikal tu apalah sangat buat si ibu,” komen Haslinda.
“Ibu sanggup buat apa saja untuk kita kan? Hilang dah rasa takut kayuh basikal dalam gelap, sebab dalam kepala fikir anak sakit je kat rumah tu,” komen Ibu Faeq.
“Allahuakbar, pengorbnan seorang ibu buat saya betul-betul rasa sebak sangat. Ya Allah lindungilah ibu ini dari segala kesusahan. Berikan mereka rezeki yang melimpah ruah,” komen pengguna lain pula. – KOSMO! ONLINE