BRUSSELS – Belgium menerima tamparan hebat menjelang aksi bertemu Itali pada saingan Liga Negara-Negara Eropah di Stadium Olimpico awal pagi esok apabila kehilangan dua pemain tonggak mereka.
Ketua pasukan mereka, Kevin De Bruyne dilapor telah membuat permohonan untuk dikecualikan daripada tugasan antarabangsa untuk Oktober dan November ini bagi proses pemulihan kecederaan.
Pemain berusia 33 tahun itu terpaksa diketepikan aksi bersama Manchester City sejak bulan lalu apabila dipercaya mengalami kecederaan pangkal paha ketika terikat 0-0 menentang Inter Milan pada aksi Liga Juara-Juara.
Ketua Jurulatih Belgium, Domenico Tedesco mengakui sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan bercakap sendiri dengan De Bruyne mengenai perkara tersebut menerusi perbualan telefon.
“Kami bercakap panjang. Dia mengalami kecederaan, namun sangat bermotivasi untuk terus berbakti bersama Belgium dan mahu ke Piala Dunia 2026 bersama pasukan ini.
“Dia memohon untuk dilepaskan pada kem kali ini serta pada November nanti untuk memastikan badannya benar-benar bersedia untuk beraksi selepas ini. Jadual perlawanan selepas ini sangat padat dengan aksi Piala Dunia Kelab,” katanya.
Selain itu, Tedesco turut memaklumkan bahawa Belgium kali ini juga bakal turun tanpa khidmat penggempur utama, Romelu Lukaku yang mengakui tidak berada pada prestasi terbaik untuk membantu pasukan negaranya selepas perpindahan lewat ke Napoli musim panas lalu.
Selepas tidak beraksi dalam aksi pramusim ekoran proses mendapatkan kelab baharu, Lukaku berdepan isu kecergasan dan sedang berusaha keras untuk mendapatkan semula sentuhan terbaiknya. – AGENSI