KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) berharap mendapat tambahan bajet yang signifikan, khususnya untuk Program Podium, atlet para, serta program Road To Gold (RTG) dalam Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata tambahan bajet yang diperlukan adalah bagi memastikan KBS dapat memperkukuhkan sokongan kepada atlet-atlet negara di pelbagai peringkat, termasuk mereka yang masih dalam fasa pembangunan.
“Kita telah dijemput untuk memberikan maklum balas kepada Kementerian Kewangan dan hasrat kita adalah bajet untuk Program Podium boleh bertambah kerana kita nak pastikan cukup duit menghantar atlet untuk bagi pendedahan di luar negara,” katanya.
Menurut Hannah, salah satu cabaran utama ialah memastikan atlet pelapis turut mendapat peluang yang sama seperti atlet-atlet utama dalam Program Podium terutamanya dalam pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa.
“Atlet pelapis biasanya menjalani latihan, tetapi mereka tidak selalu mendapat peluang bertanding di luar negara. Bila tiba waktu bertanding di platform besar, ramai yang merasa gementar kerana kurang pendedahan. Kami mahu masalah ini dapat diatasi dengan bajet yang lebih besar,” tambahnya.
Selain itu, Hannah turut menekankan keperluan untuk memperuntukkan dana tambahan bagi atlet para dan KBS bercadang untuk memperluaskan kem bakat dalam usaha mencari lebih ramai atlet berbakat dari seluruh negara.
“Saya juga berharap bajet untuk Road to Gold akan kekal atau ditambah, memandangkan program ini penting dalam persediaan kita untuk dua kitaran Sukan Olimpik – Paris 2024 dan Los Angeles 2028,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi latihan pasukan hoki veteran negara yang bakal beraksi di Piala Dunia Hoki Master 2024 yang akan membuka tirai di Cape Town, Afrika Selatan pada 12 hingga 21 Oktober ini.