fbpx

‘Fattah sendiri tak tahu-menahu, cerai bukan gimik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fattah sendiri tidak tahu-menahu tentang pelancaran single duet bersama bekas isteri, Nur Fazura berjudul Bertahan Demi Cinta oleh syarikat Indonesia.

PETALING JAYA – Dituduh sengaja mencetuskan gimik, hakikatnya pelakon Fattah Amin langsung tidak mengetahui tentang pelancaran single duet bersama bekas isteri, Nur Fazura berjudul Bertahan Demi Cinta yang dijadualkan dilancarkan esok.

Pengurusnya, Sakirin Acha atau Acha berkata, isu perceraian bukan hal yang boleh dijadikan bahan mainan, apatah lagi ditunggang untuk mempromosikan lagu baharu.

“Saya baru sahaja hubungi Fattah bertanyakan kesahihan perkara ini dan dia maklumkan tidak tahu-menahu mengenai pelancaran single duet tersebut.

“Ingin saya tegaskan perceraian bukan satu gimik untuk mempromosikan single duet atau dibuat main-main,” katanya.

Menurut Acha lagi, dia tidak akan berkompromi jika pelakon Pendekar Awang: Darah Indera itu memberi lampu hijau terhadap rancangan tersebut.

“Saya orang pertama yang akan melarang Fattah sekiranya dia mahu mempromosikan single itu pada waktu sekarang,” ujarnya.

Katanya, Fattah memaklumkan Bertahan Demi Cinta sudah lama dirakam selain pernah menjadi antara runut bunyi bagi drama bersiri Hero Seorang Cinderella 2.

“Lagu ini pernah dimainkan dalam drama Hero Seorang Cinderella 2 malah proses penggambaran muzik video juga sudah lama disempurnakan di Indonesia.

“Cuma tak sangka pula single ini mahu dilancarkan dalam situasi sekarang sehingga mengundang pelbagai fitnah yang tidak benar.

“Jadi saya harap netizen berhenti membuat spekulasi yang tak betul,” katanya.

Terdahulu, syarikat rakaman Indonesia, Hits Records memuat naik video berkenaan pelancaran lagu duet Bertahan Demi Cinta menerusi Instagram mereka.

Khabar tersebut mengundang kejutan apabila pengumuman dibuat dua hari selepas Fattah dan Nur Fazura bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari Selangor, Isnin lalu.

Sekali gus, ramai menganggap pihak syarikat sengaja menangguk di air keruh dan tidak kurang menuduh perceraian sebagai gimik promosi single.

Sementara itu, semakan mendapati Hits Record Label yang ditubuhkan pada tahun 2009 berpangkalan di Kebun Jeruk, Jakarta Barat dan antara artis yang pernah berpayung di bawahnya adalah Andmesh Kamaleng dan Ayu Ting Ting. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI