KUALA LUMPUR – Jaguh badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia membuka kempen Terbuka Arctic dengan langkah kanan selepas mudah menyingkirkan pemain Perancis, Christo Popov menerusi kemenangan straight set 21-15, 21-11 dalam tempoh 43 minit sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Energia Areena, Vantaa, Finland tersebut, Zii Jia yang turun selaku pemain pilihan ketiga kejohanan bermula dengan baik apabila mendahuli permainan dengan keputusan 11-9 sebelum menang 21-15 di set pertama.
Bersambung pada set kedua, Zii Jia terus memperkemaskan corak permainannya dan mengurang kesilapan sebelum mudah menundukkan lawan ranking No. 27 dunia itu 21-11 untuk meneruskan perjuangan ke pusingan kedua esok.
Kemenangan tersebut memberi kelegaan kepada pemain ranking No. 4 dunia tersebut kerana sebelum ini dia tumbang seawal di pusingan pertama Terbuka Jepun dan Terbuka China, bulan lalu.
Hasil kemenangan tersebut sedikit sebanyak melonjakkan semangat Zii Jia terutama untuk mempertahankan gelaran yang dimenanginya pada tahun lalu di Terbuka Arctic.
Selepas ini, Zii Jia perlu melakukan persiapan lebih ampuh kerana dia akan berdepan sama ada wakil China, Lei Lan Xi atau wakil Jepun, Yushi Tanaka di pusingan kedua esok.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao apabila terkandas di pusingan pertama apabila tewas ketika berdepan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu 19-21, 9-21 dalam tempoh 44 minit. -KOSMO! ONLINE