fbpx

Siap sedia kemungkinan bah lebih buruk di Kedah minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hafizah Md Saad, 39, membawa kucing peliharaannya ke tempat lebih selamat selepas rumahnya dilanda banjir buat kali ketiga di Kampung Alor Madi, Anak Bukit di Alor Setar hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO! ONLINE

ALOR SETAR – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah bersedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir lebih buruk sepanjang fenomena air pasang besar yang diramalkan berlaku selama tiga hari bermula 18 Oktober ini.

Timbalan Pengarahnya, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain berkata, berdasarkan ramalan air pasang besar oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bacaan paras air laut dijangka mencecah tiga meter.

“Kita sudah bersedia dengan membuat segala persiapan termasuk daripada segi anggota bagi menghadapi kemungkinan yang lebih dahsyat,” katanya kepada pemberita ketika meninjau dan melakukan operasi memindahkan mangsa banjir di Kampung Seberang Anak Bukit, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya juga sentiasa berhubung dengan ibu pejabat APM bagi memaklumkan situasi semasa dan akan memohon bantuan anggota dari negeri lain sekiranya situasi menjadi lebih buruk.

Sementara itu, beliau berkata, kejadian banjir yang melanda negeri ini sebanyak tiga kali sejak 18 September lalu berlaku di hampir kesemua 114 lokasi panas.

“Ketika ini sebanyak 21 pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan di lima daerah iaitu di Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Baling dan Pendang.

“Terdapat lapan sungai di negeri ini yang telah melebihi paras bahaya dan paling kritikal adalah di Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar,” ujarnya.

Menurut Muhammad Suhaimi, punca peningkatan air secara mendadak di kawasan terjejas adalah disebabkan hujan pada waktu petang dan malam serta pada kadar ekstrem.

“Selain itu, faktor hujan yang berlaku di kawasan hulu seperti Padang Terap menyebabkan kuantiti air sungai yang banyak mengalir turun ke Kubang Pasu dan Kota Setar. Banjir di beberapa tempat lambat surut kerana air mengalir perlahan ke laut kerana sungai penuh,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, terdapat segelintir penduduk yang terjejas banjir enggan berpindah ke PPS kerana bimbang dengan keselamatan barangan peribadi yang ditinggalkan di rumah.

“Mereka juga menganggap banjir mungkin akan surut dalam masa dua atau tiga jam. Kita ingin menasihatkan orang ramai yang berhadapan banjir agar segera berpindah atas faktor keselamatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI