PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memutuskan untuk mengasingkan kuasa antara Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Padiberas Nasional Bh. (Bernas).
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, perkara itu wajar dilaksanakan segera bagi memantapkan tatakelola sektor padi dan beras di negara ini.
Beliau berkata, perkara itu juga penting bagi mengatasi isu ketiadaan beras putih di pasaran tempatan dan menjamin kebajikan 230,000 pesawah di negara ini.
“Buat masa ini pengeluaran beras tempatan hanya mampu membekalkan keperluan untuk 21 juta pengguna di Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini, hari ini.
Katanya, ketika ini, penduduk Malaysia sudah melebihi 30 juta orang, sebahagian lagi beras kita terpaksa import dari sumber luar melalui Bernas.
Mohamad berkata, pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah mana-mana polisi sedia ada kerana ia ibarat sehelai kain sarung ‘kalau ditarik ke atas, di bawah akan terlihat dan jika ditarik ke bawah, di atas akan terlihat’.
“Oleh sebab itu, kami sangat berhati-hati ketika mahu melaksanakan reformasi ke atas industri ini. Banyak sesi libat urus perlu dilaksanakan dan pelbagai lapisan masyarakat perlu disantuni untuk mendapatkan kaedah yang terbaik bagi menguruskan komoditi ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE