MELAKA – Seorang bekas wartawan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan hantaran komunikasi jelik terhadap kekasih lamanya pada Januari lalu.
Tertuduh, Nurfateha Othman, 42, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan laman sosial Facebook melalui profil Aspalelah Zizah Torak secara sedar membuat dan memulakan komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati serta mengganggu Mohd. Dzuhairy Hussain, 43, kira-kira pukul 2 petang di sebuah rumah di Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah pada awal Januari 2024.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 beserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri kepada pegawai penyiasat sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Peguam Mohamed Musthafa yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai jurugambar sambilan dengan pendapatan RM2,200 sebulan, manakala suaminya penjual roti selain menanggung empat orang anak.
Azaraorni kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan.
Beliau turut menetapkan tarikh 12 November depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni atas pertuduhan mengaibkan kehormatan mangsa sama dengan cara memuat naik gambar, butiran dan perbualan aplikasi Whatsapp di Facebook.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000. – KOSMO! ONLINE