fbpx

Tidak sempat jual dadah ‘Apple Merah’ sudah kena serbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kok Chin menunjukkan tong ovalette yang digunakan sindiket untuk memasukkan dua paket syabu. FOTO NURUL NAJWA HASRAN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket dadah apabila merampas syabu seberat 613 kilogram (kg) bernilai RM19.58 juta dalam dua serbuan di Lembah Klang baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 22 hingga 48 tahun dengan tiga daripada mereka adalah warga Thailand.

Katanya, tiga suspek termasuk dua wanita Thailand berperanan sebagai penjaga stor di sebuah rumah di Bandar Manjalara, Kepong, di sini.

“Polis merampas sebanyak 250 bungkusan syabu seberat 255 kg dengan tulisan ‘Guanyinwang’  bernilai RM8.18 juta. Dadah itu boleh digunakan lebih 1.2 juta penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

“Sindiket itu menjadikan rumah sebagai stor dan tempat pembungkusan.

“Mereka memasukkan dua peket syabu bernilai RM66,000 ke dalam tong pengemulsi kek (ovalette) sebelum diedarkan ke luar negara dan sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Kok Chin berkata, sindiket dadah tersebut dipercayai aktif sejak awal tahun ini. Kesemua suspek direman selama tujuh hari sejak 8 Oktober lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam serbuan kedua, polis merampas sebanyak 357kg syabu bernilai RM11.4 juta selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun di hadapan sebuah premis di Taman Perindustrian Kip Kepong, di sini kelmarin.

“Lelaki yang merupakan penjaga stor dan ‘transporter’ ditahan ketika sedang memunggah guni dari but kereta jenis Perodua Ativa untuk dimasukkan ke dalam premis yang baru disewa empat hari.

“Polis merampas 350 peket ‘dadah Apple Merah’ yang boleh digunakan 1.78 juta penagih. Kita percaya dadah ini untuk edaran kawasan Lembah Klang. Sindiket ini bergiat aktif sejak awal tahun ini.” jelasnya.

Lelaki tersebut ditahan reman selama tujuh hari sejak 8 Oktober lalu. Semakan mendapati suspek bagi kedua-dua kes tersebut tidak mempunyai rekod jenayah selain bebas pengambilan bahan terlarang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI