fbpx

CENTEXS, Airod-ADC meterai MoA tubuh akademi latihan penerbangan di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abang Johari (tiga dari kanan), Syeed Mohd (empat dari kanan) dan Suffian Eltrada ketika melawat reruai pada Program Pelancaran Akademi Penerbangan di CENTEXS Lundu, Sarawak semalam.

PETALING JAYA – Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) semalam menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) bersama Airod-Aviation Design Centre (ADC) bagi menubuhkan akademi latihan penerbangan bebas di Sarawak.

CENTEXS dalam kenyataan berkata, kerjasama ini bertujuan mengubah Sarawak menjadi hab global untuk latihan penerbangan dan aeroangkasa sambil menekankan amalan mampan dan pembangunan modal insan.

Kerjasama ini turut disokong oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan rakan strategik utama Kumpulan Syarikat Aeroangkasa dan Industri Pertahanan (Kumpulan NADI).

Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Datuk Syeed Mohd. Hussien berkata, kerjasama ini menandakan satu peristiwa penting untuk memartabatkan Sarawak sebagai peneraju dalam latihan penerbangan dan aeroangkasa.

“Dengan kerjasama bersama Airod-ADC, kami komited menyediakan program latihan bertaraf dunia yang bukan sahaja memenuhi permintaan industri tetapi juga menyumbang kepada pembangunan mampan tenaga kerja tempatan kita.

“Bersama-sama, kita akan membina ekosistem teguh yang menyokong inovasi, kecemerlangan, dan kemampanan dalam sektor penerbangan,” katanya.

Terdahulu, majlis menandatangani MoA berkenaan dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diiringi Datuk Syeed Mohd dan Naib Presiden Kanan Pertahanan dan Pembuatan, Kumpulan NADI, Datuk Suffian Eltrada.

Melalui perkongsian ini, CENTEXS dan Airod-ADC akan melaksanakan beberapa siri teknikal program latihan yang direka untuk melengkapkan belia dan tenaga kerja Sarawak dengan kemahiran yang diperlukan dalam industri aeroangkasa.

Program ini merangkumi empat bidang teras iaitu latihan dan pembekalan modal insan pembuatan, latihan dan pembekalan modal insan MRO (Maintenance, Repair, and Overhaul).

Dua lagi adalah latihan lanjutan dan pembekalan juruterbang, termasuk latihan bertaraf jenis untuk pesawat tertentu dan latihan serta pembekalan kru kabin.

Bagi menyokong inisiatif ini, CENTEXS dan Airod-ADC akan melancarkan enam program latihan termasuk pensijilan dalam penyelenggaraan pesawat, pemesinan aeroangkasa, dan avionik.

Di samping mempromosikan kecemerlangan teknikal, perkongsian ini juga akan memberi tumpuan kepada usaha kelestarian Sarawak.

Ini termasuk menyepadukan amalan mesra alam ke dalam latihan modul dan menggalakkan penggunaan sumber yang bertanggungjawab dalam industri penerbangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI