TAIPEI, Taiwan – Jet-jet China melakukan 380 pencerobohan ke dalam zon pertahanan Taiwan tahun lalu sekali gus angka tertinggi, kata seorang pegawai pertahanan semalam.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Taiwan, Shih Shun-wen berkata, Beijing menghantar jet, pesawat pengebom dan kapal terbang pengintip ke zon identifikasi pertahanan udara Taiwan (ADIZ) pada kadar yang belum pernah berlaku sebelumnya.
“380 pencerobohan ke ADIZ pada tahun 2020 adalah jauh lebih kerap daripada masa lalu”
“Ini menimbulkan ancaman terhadap keselamatan wilayah kita.
“Pesawat China menyasarkan ADIZ ‘untuk menguji tindak balas tentera kita dan untuk memberi tekanan terhadap pertahanan udara kita,” katanya.
Angka tersebut disiarkan ketika Institut Penyelidikan Pertahanan dan Keselamatan Nasional yang mempunyai kaitan dengan tentera memberi amaran dalam laporan tahunan tentang Tentera Pembebasan Rakyat (tentera komunis) bahawa ancaman ketenteraan China berada di tahap tertinggi sejak krisis peluru berpandu 1996 di Selat Taiwan.
Pada tahun 1996, Beijing membedil peluru berpandu ke Selat Taiwan dalam usaha menakutkan pengundi dalam pilihan raya Presiden pertama yang diadakan secara demokrasi di pulau itu sekali gus mendorong Washington menghantar kapal perang ke perairan tersebut.
Taiwan yang mengamalkan demokrasi dan pemerintahan sendiri, hidup di bawah ancaman pencerobohan berterusan oleh China yang menganggap pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Beijing juga berikrar untuk merampas Taiwan suatu hari nanti dan secara paksa jika perlu.
Permusuhan Beijing meningkat sejak Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen memenangi pilihan raya pada tahun 2016 dan menolak gagasan ‘satu China’. – AFP