PETALING JAYA – Melihatkan pendedahan demi pendedahan dilakukan selepas lafaz cerai antara pelakon Abdul Fattah Mohd. Amin dan Nur Fazura Sharifuddin, ramai artis dan golongan profesional tampil untuk memberi sokongan bagi mempertahankan selebriti berkenaan.
Rata-rata mereka dilihat cenderung memberi semangat buat Fattah yang dituduh curang dan tidak memberi nafkah sebagai alasan untuk Fazura menuntut cerai.
Pelakon Pekin Ibrahim atau nama sebenarnya Mohd. Iznan Ibrahim, 42, menyifatkan tuduhan ke atas pelakon Pendekar Awang: Darah Indera Garah itu amat berat.
“Sepanjang di set penggambaran, Fattah tidak pernah sebut mengenai wanita lain apatah lagi curang. Saya tidak pernah nampak dia menggatal, bila masuk waktu, dia minta rehat dan pergi solat. Berat tuduhan curang.
“Ketika kami PJJ (menuntut di Universiti Utara Malaysia), Fattah hanya sebut rindu isteri dan anak, Nur Fatima Aisya, 4. Fattah sentiasa tenang dan dia profesional sepanjang bekerja,” kata suami Mona Allen itu.
Salina Saibi, 42, pula meminta pelakon Pisau Cukur itu supaya berdiam dan jangan membuka aib lagi selepas bercerai.
“Woi dah la tu (itu). Diamlah,” katanya dalam satu perkongsian dalam Instagram. Pelakon filem Biasan dan usahawan, Lana Nodin turut meminta Fazura berdiam diri.
Lana atau Mazlina Hassan Nodin, 44, dalam satu komen menyelar tindakan Fazura membuka aib Fattah.
“Jika kau cukup matang lebih baik kau tutup mulut daripada membuka aib bapa kepada anak kau sendiri. Nanti bila budak tu dah besar dia tengok buat malu sahaja,” tulisnya.
Penyanyi Keena Wahab pula mendedahkan, ketika mengenali Fattah, lelaki itu digelar ‘budak skema’ kerana sikap yang sentiasa menghormati orang, menunduk apabila bersalaman dan sentiasa tersenyum.
“Ketika penggambaran drama Hello Mr. Perfect, saya tidak kenal Fattah, namun selepas beberapa projek bersama seperti Siapa Dia, Bodyguard dan Cik Siti, saya mengakui Fattah sebagai seorang yang pendiam dan hanya melakukan hal sendiri di set,” katanya.
Keena berkata, Fattah lebih suka duduk bersama kru dan tidak terlibat dalam aktiviti sosial selain tidak mudah terlibat dalam kontroversi atau isu hubungan, walaupun mempunyai ramai peminat wanita.
Dia juga memuji Fattah sebagai individu yang menghormati orang di sekelilingnya, termasuk dirinya yang lebih tua tiga tahun.
Pelakon, Lim Mei Fen, 37, berkata, Fattah amat profesional di set penggambaran.
“Dia menjaga batas pergaulan. Semoga dipermudahkan urusan kamu, jaga diri,” katanya.
Artis, Anzalna, 36, pula menitipkan pesanan buat netizen yang melampau dalam mencampuri Fazura dan Fattah.
“Kita hanya perlu berdoa tanpa mengambil tahu masalah rumah tangga orang lain. Fokus pada kehidupan sendiri, tak perlu masuk campur. Hari ini, hari mereka. Esok lusa hari kita pula,” katanya menerusi Instagram.
Kelmarin, episod perceraian pasangan yang telah tujuh tahun mendirikan rumah tangga itu mencetuskan kejutan bukan disebabkan lafaz talak satu, sebaliknya pendedahan Fazura yang disifatkan bekas suaminya sebagai fitnah dan pelanggaran perjanjian.
“Kalau mahu teruskan fitnah, tanggunglah dosa,” kata Fattah terkejut dan kecewa dengan pendedahan bekas isterinya.
Pasangan itu bernikah pada 27 November 2017. – KOSMO! ONLINE