fbpx

‘Label menangguk di air keruh, ambil kesempatan’ – Pengurus Fazura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengurus Fazura, Iman Tang (gambar bulat) berkata, pihaknya langsung tidak tahu-menahu tentang pelancaran lagu berkenaan yang disifatkan tidak sesuai dengan waktunya.

PETALING JAYA – Selepas sah bercerai talak satu Isnin lalu, Fazura dan Fattah Amin terus mencipta sensasi apabila dikatakan bakal melancarkan single duet berjudul Bertahan Demi Cinta pada Khamis ini.

Terkejut dengan berita tersebut, Pengurus Fazura, Iman Tang berkata, pihaknya langsung tidak tahu-menahu tentang pelancaran lagu berkenaan yang disifatkan tidak sesuai dengan waktunya.

“Saya sempat bertanya, pihak Fazura juga tidak tahu, mereka (label) tidak maklumkan tiba-tiba sahaja mahu keluarkan lagu.

“Saya tidak hubungi label, cuma tanyakan kepada Fazura dan abangnya. Mereka tidak dimaklumkan apa-apa, tahu-tahu sudah keluar,” ujar Iman Tang.

Gara-gara pelancaran single tersebut, Fazura dan Fattah didakwa menggunakan perceraian sebagai gimik untuk mempromosikan lagu.

Menepis dakwaan tersebut, jelas Iman pihak label tidak sepatutnya menangguk di air yang keruh, menggunakan kesempatan atas kesempitan orang lain.

“Apa yang saya tahu perkara ini mungkin terjadi apabila berita (perceraian) ini sudah kecoh. Ini bukan masa yang tepat dengan tajuk lagu pula begitu.

“Sebab pada akhirnya, orang akan ingat mereka sekadar mahu jual lagu, gaduh-gaduh rupanya mahu jual tudung atau sambal ikan bilis.

“Secara peribadi saya rasa mereka (label) menangguk di air keruh sebab perkara itu bukan benda yang bagus.

“Sebagai orang Islam, kita tidak meminta tetapi hormatilah jika seseorang melalui masa yang sukar. Jangan ambil kesempatan. Pakai otak,” kata Iman Tang.

Meskipun tidak menguruskan karier muzik Fazura, Iman menjelaskan artis naungan juga tidak bersetuju lagu tersebut dikeluarkan.

“Ya, Fazura juga tidak bersetuju kerana lagu sudah dirakam lama. Sudah tentu tiada siapa setuju.

“Saya tidak tahu apa rancangan mereka (label), bagi mereka mungkin lagu ini orang akan dengar. Saya juga tidak tahu jika ada terikat dengan kontrak.

“Kalau Fazura promosi lagu itu saya akan marah sebab cara ini tidak betul. Soal perceraian bukan bahan jenaka untuk diambil kesempatan,” jelas Iman Tang yang ditemui pada sesi latihan konsert Cipta 2, Datuk M. Nasir semalam.

Difahamkan lagu duet tersebut telah dirakamkan awal tahun ini dan menjadi antara runut bunyi drama Hero Seorang Cinderella 2.

Terdahulu, syarikat rakaman Indonesia, Hits Records memuat naik video di Instagram memaklumkan pasangan itu bakal melancarkan single duet Bertahan Demi Cinta pada 10 Oktober ini di semua platform penstriman digital. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI