PUTRAJAYA – Tarikh pembayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) akan diumumkan dalam masa terdekat.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi Laporan LAKSANA Ke-35 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), hari ini.
Tengku Zafrul berkata, buat masa ini, proses semakan permohonan baharu dan rayuan masih dijalankan.
Beliau berkata, permohonan baharu dan rayuan yang lulus, dijangka disalurkan mulai bulan ini.
“Manakala, penunaian fasa pertama BPN 2.0 melalui BSN bagi mereka yang gagal kredit juga masih sedang diteruskan,” katanya.
Bagi Geran Khas PRIHATIN 2.0 (GKP 2.0) pula, Tengku Zafrul berkata, proses semakan permohonan baharu dan rayuan sedang dalam proses semak silang antara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pihak berkuasa tempatan.
“Keputusan mengenai GKP 2.0 akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM7 bilion bagi BPN 2.0 yang bertujuan meringankan beban 7.5 juta penerima B40 serta 3.1 juta penerima M40 melalui pemberian bantuan tunai secara ‘one-off’. – K! ONLINE