IPOH – Bilangan mangsa banjir di Perak terus mencatatkan penurunan apabila mereka dibenarkan pulang selepas banjir surut.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, mangsa banjir kini berjumlah 448 orang daripada 120 keluarga yang ditempatkan lima pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 511 pagi tadi.
“Jumlah mangsa paling tinggi dicatatkan di daerah Hilir Perak iaitu 410 mangsa di tiga PPS iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) melibatkan 253 penduduk, PPS Dewan Serbaguna Chikus (113) dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Langkap (44).
“Di daerah Kampar, seramai 25 mangsa daripada 11 keluarga masih berada di PPS Dewan Serbaguna Dato’ Azman Mahalan, Kuala Dipang manakala di daerah Hulu Perak pula hanya 13 mangsa daripada tiga keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Perah,” katanya. – K! ONLINE