fbpx

Penyeludupan diesel di Sibu, ‘Datuk’ antara ditahan rasuah penguat kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang bergelar Datuk kerana dipercayai memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguat kuasa bagi menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Sibu, Sarawak.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 60-an itu dipercayai memberi rasuah kepada beberapa penguat kuasa sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang.

Katanya, rasuah itu bagi melindungi tempat mereka bekerja yang dipercayai telah menyeleweng diesel bersubsidi.

“Kedua-dua suspek lelaki dan wanita ini masing-masing berjawatan sebagai pengerusi dan pengarah sebuah syarikat yang menguruskan pembelian dan penjualan minyak diesel bersubsidi.

“Namun, mereka disyaki telah menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan menyeludup dan menjual kepada pihak luar.

“Jadi, bagi melindungi kegiatan itu, mereka dipercayai memberi wang rasuah kepada beberapa penguat kuasa,” katanya hari ini.

Menurut sumber, salah seorang suspek ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sibu, manakala seorang lagi ditahan di sebuah pusat perubatan di daerah ini sekitar pukul 11.20 pagi tadi hingga 12.30 tengah hari tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Katanya, kedua-dua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dikehendaki membayar wang jaminan RM50,000 tunai dan RM50,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI