fbpx

Helikopter TUDM hantar bekalan untuk mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
C725 AP dari No 10 Skuadron diaturgerak untuk sortie penghantaran bekalan makanan dan barang keperluan asas di kawasan-kawasan terkesan banjir sekitar Pahang bermula kelmarin.

PETALING JAYA – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengatur gerak aset udara dan anggota untuk menghantar bekalan makanan serta barang keperluan asas ke kawasan-kawasan terjejas banjir dalam Ops Murni di sekitar negeri Pahang.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, helikopter EC725 AP dari Skuadron ke-10 (No. 10 Skuadron) dari Pangkalan Udara Kuantan diatur gerak ke kawasan-kawasan yang terputus hubungan laluan darat.

“TUDM hari ini melakukan enam sortie penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas ke kawasan terjejas banjir di sekitar daerah Temerloh, Pahang menggunakan pesawat EC725 AP dari No 10 Skuadron.

“Bekalan makanan dan keperluan asas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat seberat satu tan ini telah dihantar ke lokasi-lokasi di daerah Temerloh seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Terua, SK Lanchang, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Lanchang dan SK Desa Bakti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

TUDM juga telah melakukan sortie menggunakan helikopter itu sejak kelmarin.

Tiga sortie penghantaran bekalan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seberat 250 kilogram kepada penduduk terjejas banjir di sekitar daerah Kuala Lipis dan Temerloh dilaksanakan kelmarin manakala 10 sortie dilaksanakan semalam membabitkan 1,000 kilogram bekalan makanan daripada JKM.

Helikopter TUDM berkenaan turut melaksanakan dua penerbangan ihsan membabitkan seorang warga emas yang diterbangkan dari SK Lanchang ke SMK Seberang Temerloh dan dua bayi pasangan kembar berusia empat bulan yang menghidapi demam panas.

“Pasangan bayi kembar berkenaan, Afya Zara Rosman Hafsam dan Arfan Naufal Rosman Hafsam diterbangkan dari SMK Teluk Sentang ke SMK Seberang Temerloh.

“Kesemua pesakit kemudiannya telah dibawa menaiki ambulans ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh sebaik mendarat di SMK Seberang Temerloh bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI