fbpx

ABM umum ketua jurulatih perseorangan Jumaat ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REXY menjelaskan pihaknya juga sudah mengenal pasti calon ketua jurulatih beregu wanita yang masih dirahsiakan buat masa ini.

PERSOALAN mengenai ketua jurulatih perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM) bakal terjawab Jumaat ini selepas perbincangan dengan calon berkenaan sudah berada pada fasa terakhir.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky menjelaskan, kedua-dua pihak sudah menyatakan persetujuan, namun calon itu mahu diberikan sedikit masa sebelum pengumuman rasmi dibuat berhubung pelantikan tersebut.

Beliau berkata, sekiranya perbincangan susulan berjalan lancar tanpa sebarang masalah, ketua jurulatih itu akan mula mengemudi kedua-dua skuad perseorangan lelaki dan wanita seawal-awalnya bulan ini.

“Berhubung (ketua jurulatih) perseorangan, beliau akan pegang kedua-dua skuad perseorangan lelaki dan wanita tetapi perbincangan akan diteruskan hari ini (semalam) kerana semalam (kelmarin) saya dan Datuk Kenny (Goh) sudah bercakap dengannya.

“Apa yang kita tawarkan dan apa yang beliau minta, kedua-dua pihak sudah bersetuju. Cuma sekarang beliau meminta diberikan masa sehari dua, jadi hari ini (semalam) saya akan mesej untuk minta pengesahan,” katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara semalam.

Berdasarkan laporan sebelum ini, beberapa nama dikaitkan dengan kerusi panas tersebut, termasuk bekas ketua jurulatih Denmark, Kenneth Jonassen serta Mulyo Handoyo yang pernah membimbing legenda Indonesia, Taufik Hidayat.

Sementara itu, Rexy turut memberitahu, pihaknya juga sudah mencapai persetujuan untuk melantik ketua jurulatih beregu wanita, namun diminta calon tersebut supaya merahsiakan identitinya.

“Untuk beregu wanita, orang itu (calon) sudah pasti tetapi beliau tidak mahu kita umum lagi. Itu permintaannya, jadi kita hormati privasi beliau, sabar dan tunggu kita buat pengumuman,” ujarnya.

Sekiranya pelantikan itu dibuat dalam masa terdekat, maka barisan kejurulatihan memiliki masa mencukupi untuk mempersiapkan pemain menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 pada Januari tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI