KANTUNG Persatuan Sepak Malaysia (FAM) sudah pun bersedia untuk membuat pelaburan besar sekiranya ada keperluan untuk mendapatkan jurulatih baharu buat Harimau Malaya.
Menyedari kos yang diperlukan untuk skuad kebangsaan agak tinggi, badan induk itu tidak akan bersikap kedekut untuk berbelanja, namun buat masa ini lebih selesa untuk memberikan ruang buat Pau Marti Vicente membuktikan kualitinya.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata perkara paling utama adalah seseorang jurulatih dapat melakukan tugasnya dengan baik sekaligus mampu memenuhi harapan peminat.
“Bukan soal gaji kerana kita mahukan jurulatih yang boleh membawa kita ke satu tahap lain. Kalau kita ada (jurulatih) gaji RM100,000, tetapi tak boleh ke mana, baik kita bayar gaji RM200,000 yang boleh bawa kita (pergi) jauh.
“Kadangkala kita kena berbelanja juga untuk skuad kebangsaan. Kita pun lihat beberapa (jurulatih) tunjukkan minat untuk membantu pasukan negara jadi kita perlu bersedia.
“Mahu atau tak mahu, kita kena juga berbelanja untuk mendapatkan keputusan yang baik,” katanya.
Sebelum ini, nama bekas pengendali Vietnam, Park Hang-seo terus menjadi sebutan untuk diangkat sebagai pengendali tetap Harimau Malaya bagi menggantikan tempat ditinggalkan Kim Pan-gon.
Bagaimanapun, hasrat untuk mendapatkan khidmat Hang-seo bakal memaksa FAM mengeluarkan dana lebih besar memandangkan laporan di Vietnam juga menyebut jurulatih itu menerima gaji sekitar RM218,000 sebulan daripada Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF).
“Kita belum bergerak ke arah itu (berhubung dengan Hang-seo) kerana ketika ini Pau Marti masih ada dalam pasukan. Kita tunggu sehingga hujung tahun ini sebelum mempertimbangkan apa pilihan terbaik.
“Pau Marti mendapat peluangnya (kendalikan skuad kebangsaan) jadi gunakan peluang itu sebaiknya,” katanya.