fbpx

‘Raja maraton KLSCM’ mahu ke Sukan SEA 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAIZAR berharap terpilih mewakili Malaysia dalam acara maraton pada Sukan SEA Thailand 2025.

PEMENANG dua pingat gangsa Sukan SEA, Muhaizar Mohamad kini menumpukan sasaran untuk kembali beraksi di temasya berprestij Asia itu menjelang edisi penganjuran 2025 di Bangkok, Chonburi dan Songkhla, Thailand bermula 9 Disember tahun depan.

Keyakinannya hadir susulan kejayaannya menjuarai maraton terbuka lelaki buat kali keenam pada Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2024 di Dataran Merdeka dengan catatan masa dua jam 41 minit 17 saat (s) baru-baru ini.

“Sasaran saya untuk layak ke acara maraton Sukan SEA 2025 di Thailand. MSN (Majlis Sukan Negara) dan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) akan melihat catatan masa atlet berdasarkan kedudukan podium di Sukan SEA yang lalu.

“Sekiranya saya dapat mencatat masa lebih pantas, peluang untuk dipilih lebih cerah,” kata Muhaizar yang pernah menjuarai KLSCM lima kali berturut-turut dari 2015 hingga 2019.

Pelari berusia 39 tahun itu kini bekerja keras untuk mencipta rekod peribadi lebih pantas bagi mengatasi catatan pemenang pingat gangsa dari Vietnam, Hoang Nguyen Thanh iaitu 2:35:49s sewaktu Sukan SEA Kemboja 2023.

“Saya mahu perbaiki catatan masa atlet yang memenangi gangsa di Sukan SEA lepas. Jika ada dua orang sudah mencapai had kelayakan, saya perlu mencatat masa lebih pantas untuk merebut salah satu daripada dua slot ditawarkan,” tambahnya.

Muhaizar turut mendedikasikan kejayaannya merampas semula gelaran juara KLSCM kepada usaha gigih semasa latihan setelah berjaya menewaskan pesaingnya, S. Poo Vasanthan yang terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Dalam perlumbaan tersebut, Muhaizar berjaya mengatasi cabaran sengit Muhamad Haziq Hamzah yang menduduki tempat kedua dengan catatan 2:41.38s, manakala Yeow Ni Jia menamatkan perlumbaan di tempat ketiga (2:41.39s).

Dengan momentum kejayaan itu, Muhaizar kini berada pada prestasi terbaik untuk kembali membawa cabaran Malaysia di pentas antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI