DUNGUN – Seorang pemain bola sepak kelab amatur, Dungun FA maut setelah motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Kampung Che Lijah di sini malam tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 10.35 malam itu, mangsa, Muhammad Aidi Kasim, 25, yang juga anggota polis bantuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bukit Besi meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, sewaktu kejadian Muhammad Adi dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di UiTM Bukit Besi di sini.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda RSQ50R dinaiki mangsa merempuh sebuah kenderaan pelbagai jenis, Perodua Alza yang dikatakan tiba-tiba memasuki laluan utama dari bahu jalan.
“Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan sebelum digilis pula oleh sebuah kereta Perodua Myvi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Maizura berkata, pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Tambah beliau pemandu kenderaan Perodua Alza dan Perodua Myvi yang masing-masing berusia 19 dan 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa (Muhammad Adi) telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE