fbpx

‘Saya ingat bunyi kucing, rupanya bayi dalam kotak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahmud menunjukkan bayi lelaki yang ditemui di dalam kotak di gerainya dekat Kampung Rambai, Jalan Tokai di Pendang hari ini.

PENDANG – “Saya ingat kucing ‘teriak’ dua kali. Bila buka kotak berderau darah tengok bayi lelaki masih melekat tali pusat dan urinya”

Demikian cerita seorang warga emas, Mahmud Lebai Salleh, 77, mengenai penemuan seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan di sebuah gerai di Kampung Rambai, Jalan Tokai dekat sini hari ini.

Menurut Mahmud, dalam kejadian pada pukul 7.45 pagi itu, dia bersama isterinya, Che Som Saad, 75, berniaga nasi lemak serta kuih muih di gerai tersebut sebelum terdengar suara tangisan halus dari kotak terletak di belakang meja jualannya.

“Saya dan isteri datang berniaga di sini kira-kira pukul 6.45 pagi, memang ternampak kotak di belakang tetapi kami ingat kotak kosong sahaja orang letak dan tidak dengar apa-apa bunyi pun.

“Tetapi dalam pukul 7.45 pagi itu saya terdengar bunyi teriak, memang ingat kucing dua kali dan terus pergi buka. Memang berderau darah, rasa nak pengsan pun ada sudah 77 tahun hidup pertama kali menghadap perkara macam ini,” katanya ketika ditemui di gerainya itu di Kampung Rambai, Jalan Tokai di sini hari ini.

Bercerita lanjut, kata Mahmud yang baru seminggu berniaga di kawasan itu, dia kemudian meminta pertolongan daripada orang yang lalu lalang di situ untuk menghubungi klinik kesihatan dan polis.

“Jururawat datang selepas itu bersihkan darah dan kemudian polis pun datang. Bayi nampak sihat sahaja. Alhamdulillah,” katanya.

Katanya, mereka bagaimanapun bersyukur kerana bayi tersebut masih hidup ketika ditemukan dan kelihatan sangat comel.

“Saya ada 10 cucu juga dan apabila melihat ini saya jadi sangat sedih serta bersimpati. Siapalah yang sanggup buat bayi comel ini macam itu tetapi alhamdulillah, bayi ini selamat dan polis ambil bawa ke Hospital Pendang. Saya juga sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang pagi tadi.

“Nasib baik kami datang berniaga hari ini, bayangkan kalau tak ada siapa tentu kesejukan bayi itu kerana hujan pagi tadi. Bayi pun tidak diselimut apa-apa kecuali urinya dibalut kain pelikat berwarna coklat,” katanya yang turut mengalirkan air mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI