fbpx

Dunia perlu bertegas atas jenayah terhadap rakyat Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASAP hitam berkepul-kepul naik ke udara selepas serangan askar Israel di sebuah kampung di sempadan Lebanon pada 21 Jun lalu. – AFP

PUTRAJAYA – Malaysia menyeru komuniti antarabangsa untuk bersatu, mengambil tindakan tegas dan mendakwa rejim Zionis Israel atas jenayahnya terhadap rakyat Palestin.

Wisma Putra dalam kenyataan menegaskan, masa untuk bertindak telah lama tiba dan semua negara mesti segera menghentikan kekejaman ini.

Jelasnya, di mana-mana di dunia, pelanggaran undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, hak asasi manusia, termasuk genosid dan jenayah perang tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.

“Hanya Israel bertindak tanpa sebarang akibat. Ini tidak boleh diterima.

“Israel tidak boleh lagi berlindung di sebalik sejarahnya untuk melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin,” katanya hari ini.

Kata kenyataan itu, tragedi Oktober lalu, genap setahun, menjadi peringatan suram tentang keganasan tanpa henti ke atas rakyat Palestin.

Sepanjang setahun ini, rejim Zionis Israel telah membunuh secara purata 115 rakyat Palestin setiap hari dan mencederakan 274 lagi yang kebanyakannya warga emas, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.

Jelasnya, komuniti hancur dan kawasan di Gaza kini tidak lagi dapat didiami, maka dunia tidak boleh terus menutup mata terhadap nyawa yang hilang dan masa depan rakyat Palestin yang dirampas.

“Kempen keganasan dan penindasan rejim Zionis Israel berterusan tanpa tanda berhenti, meskipun pelbagai rundingan, resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah dibuat.

Rejim ini tetap berdegil, melaksanakan genosid, memperluas penempatan haram, memusnahkan infrastruktur penting, dan kini melanggar kedaulatan Lubnan,” katanya.

Malaysia mengulangi sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara sehaluan untuk memastikan keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI