PETALING JAYA – Penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menghantar sumbangan kepada mangsa banjir di Pahang, khususnya buat penduduk kampung halamannya, Kuala Lipis.
Perkara berkenaan dikongsikan penyanyi berusia 42 tahun itu menerusi Instagramnya dengan memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan barangan keperluan yang akan diagihkan kepada mangsa terjejas.
Sumbangan berkenaan dihantar ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) antaranya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) Chung Hwa dan Sekolah Kebangsaan Clifford, Dewan Orang Ramai Kampung Tempoyang di Kuala Lipis serta Sekolah Kebangsaan Benta, Sekolah Kebangsaan Budu dan Sekolah Kebangsaan Chat di Benta.
“Bekalan barangan keperluan dihantar dari Kuala Lumpur kerana beberapa hari ini sukar mendapatkan bekalan yang cukup dari daerah sekitar Pahang yang mengalami banjir.
“Semoga perjalanan pasukan kami ke sana dipermudahkan Allah. Fasa pertama dan moga dilapangkan terus rezeki untuk fasa seterusnya,” tulisnya.
Pelantun lagu Siapa Tak Mahu itu pada masa sama memaklumkan dirinya tidak dapat turut serta menghantar bantuan tersebut disebabkan keadaannya yang tidak mengizinkan.
Siti kini sedang hamil anak keduanya yang memasuki usia lebih lima bulan.
“Saya tidak dapat turun padang dan melihat sendiri kesukaran di Kuala Lipis khususnya. Bukan tidak mahu tetapi keadaan saya tidak mengizinkan.
“Meskipun ramai yang bertanya, apakah saya tidak berbuat apa-apa? Allah! Tubuh saya mungkin tidak berada di sana tetapi doa dan juga usaha saya serta kalian semuanya sampai ke sana. Moga dipermudahkan buat kita semua,” katanya lagi.
Bantuan yang dihantar menggunakan sebuah lori tersebut dihantar oleh pengurusnya, Rozi Abdul Razak ke Kuala Lipis.
Terdahulu, sekitar dua hari lalu, Siti ada meluahkan kebimbangan dengan situasi banjir yang melanda beberapa buah negeri termasuk negeri kelahirannya Pahang.
Penyanyi itu turut susah hati apabila mengenangkan keadaan keluarga termasuk ibunya yang berada di Kuala Lipis.
Menerusi Instagramnya, Siti turut berkongsi maklumat kutipan sumbangan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Clifford Lipis untuk orang ramai menyalurkan sumbangan bencana banjir di daerah tersebut. – K! ONLINE