SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor atas pertuduhan mengambil dadah, empat tahun lalu.
Dalam prosiding yang dijalankan secara penstriman video, Hakim Datuk Rohani membuat keputusan itu setelah menolak rayuan pihak pendakwaan berhubung kes terhadap Roslan Sam, 44.
“Setelah meneliti semua surat cara yang difailkan dalam membuat rayuan dan selepas menimbang hujahan dikemukakan, saya memutuskan rayuan perayu adalah ditolak.
“Justeru itu, keputusan diberi oleh Mahkamah Majistret pada 6 November tahun lalu adalah dikekalkan. Saya berpuas hati dengan dapatan dan keputusan yang dibuat dan tidak bercadang mengubah atau memindanya,” katanya.
Roslan yang bertugas di Bahagian Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dilihat menarik nafas lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.
Pada November 2023, media melaporkan Roslan Sam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini atas pertuduhan mengambil dadah, empat tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Roslan didakwa telah mengguna dan memberikan kepada dirinya dadah berbahaya iaitu sejenis Ketamin, Emphatamin, Methamphetamin, Methylenedioxy–Emphatamin dan Methylenedioxy Methamphetamin.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris. – KOSMO! ONLINE