PUTRAJAYA – Proses perolehan pesawat tempur jenis F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait yang dilakukan Malaysia perlu melalui dua keadaan sebelum hasrat memiliki jet pejuang itu dapat direalisasikan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam konteks ini, Kuwait telah memberikan reaksi positif terhadap hasrat Malaysia memiliki F/A-18 Legacy Hornet semasa lawatan rasmi beliau ke negara berkenaan semalam.
“Kuwait beri jawapan positif kepada permohonan Malaysia untuk pembelian aset ini, tetapi kita memahami ia tertakluk kepada dua keadaan.
“Keadaan pertama ialah perolehan itu perlu mendapat persetujuan daripada negara pembekal dan seterusnya proses penyerahan hanya dapat dilakukan setelah Kuwait menerima jet pejuang baharu,” katanya menerusi sidang akhbar yang dibuat di Kuwait hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Kuwait tidak mempunyai sebarang halangan berhubung perolehan itu, namun proses itu perlu bergantung kepada dua keadaan terbabit.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri juga Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri Kuwait,Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah turut berbincang proses permodenan bakal dilalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, proses permodenan itu turut melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk cabaran dihadapi di Laut China Selatan.
“Jadi, kita ucap terima kasih kepada Perdana Menteri Kuwait dan Menteri Pertahanan kerana memberikan indikasi positif kepada permohonan Malaysia berikutan perolehan itu dilihat sangat penting.
“Ini kerana Malaysia telah melakukan pemeriksaan kepada aset berkenaan melalui rombongan yang dihantar selain berasaskan kepada kajian dilakukan yang menyatakan jet itu bersesuaian,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya perolehan jet milik Tentera Udara Kuwait itu tidak berjaya, Malaysia perlu memulakan proses mencari jet pejuang baharu yang bakal mengambil masa lebih tiga tahun.
“Justeru, perkembangan itu sangat baik dan positif di mana kedua-dua pihak memahami perlu ada satu jawatankuasa baharu bagi memudahkan proses perolehan,” jelasnya.
Untuk rekod, Tentera Udara Kuwait memiliki sebanyak 39 buah pesawat pejuang jenis F/A-18 Hornet.
Bagaimanapun, jumlah pesawat yang bakal dibeli kerajaan masih belum dapat dipastikan memandangkan sedang menunggu persetujuan daripada kerajaan Kuwait berhubung perolehan itu. – KOSMO! ONLINE