fbpx

UMNO setuju perkukuh kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusi Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato' Onn malam ini.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja bersama dalam kalangan parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, kerjasama tersebut adalah sebagai satu manifestasi keseriusan dan komitmen UMNO bagi memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Bukan itu sahaja, jelas beliau, kemenangan di DUN Mahkota juga memberikan isyarat jelas bahawa rakyat menerima baik model kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia berteraskan prinsip kesederhanaan, toleransi, tidak ekstrem dalam memainkan sentimen agama mahupun bangsa yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum.

“UMNO mengucapkan penghargaan kepada pengundi DUN Mahkota atas kepercayaan yang diberikan kepada Barisan Nasional untuk memenangi kerusi tersebut dengan majoriti yang amat besar dalam Pilihan Raya Kecil baru berlalu.

“UMNO merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan Malaysia termasuk rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional, Friends of BN dan Pakatan Harapan yang bekerja kuat sebagai satu pasukan hingga berjaya meyakinkan pengundi di DUN Mahkota.

“Mesyuarat menegaskan bahawa kemenangan ini tidak harus menjadikan UMNO angkuh dan bongkak, sebaliknya memastikan mandat yang diberikan rakyat dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh tawaduk dan beramanah,” katanya di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Dalam pada itu, ahli UMNO di semua peringkat diminta untuk berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi membantu rakyat tanpa mengira ideologi parti mahupun kaum sebagaimana tradisi UMNO sejak dahulu dalam menghadapi sebarang musibah bencana alam khususnya musim tengkujuh yang mendatang. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI