RIYADH – Hubungan antara Negara-Negara Teluk dengan Qatar yang terputus sejak tiga tahun lalu dilaporkan pulih kembali semalam, kata Menteri Luar Arab Saudi.
“Apa yang berlaku hari ini adalah satu permulaan baharu dan menyambung semula hubungan diplomatik secara penuh,” kata Putera Faisal bin Farhan dalam sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak Pemimpin Teluk.
Menurut media rasmi Arab Saudi, Agensi Akhbar Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman dilaporkan membuat pertemuan lanjut dengan pemerintah Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani selepas kedua-dua pemimpin tersebut dilihat beramah mesra ketika di lapangan terbang.
“Ketika pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin berkenaan berbincang mengenai hubungan dua hala antara Arab Saudi dengan Qatar dan cara menyatukan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) semula,” lapor Agensi Akhbar Saudi.
Selain itu, enam pemimpin negara anggota GCC menandatangani dua dokumen Deklarasi Al-Ula semalam yang dinamakan sempena bandar di Arab Saudi iaitu penganjur Sidang Kemuncak Pemimpin Teluk tahun ini.
Kerajaan Arab Saudi yang mengetuai pakatan Negara Teluk memutuskan hubungan dengan Qatar pada Jun 2017 dan menuduh Doha terlalu rapat dengan Tehran selain menyokong kumpulan radikal.
Bagaimanapun, Doha telah menafikan tuduhan tersebut. – AFP