SEBAIK sahaja dipelawa oleh bekas pensyarahnya di Institut Seni Lukis Malaysia (MIA) untuk menyertai pameran lukisan virtual atau maya, Aina Kurshiah Mohamed Rashid, 22, serta-merta merebut peluang itu.
Bagi gadis berasal dari Sungai Buloh, Selangor itu, pameran tersebut satu ruang dan kesempatan untuknya menonjolkan bakat lukisan yang ada di dalam dirinya.
“Umum mengetahui pandemik Covid-19 memberi kesan yang begitu besar termasuklah terhadap industri seni.
“Pandemik ini menyebabkan pameran-pameran seni sukar untuk diadakan. Oleh itu bagi saya, pameran seni secara maya ini merupakan platform terbaik untuk saya memperkenal dan mengetengahkan hasil karya kepada orang ramai,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Aina merupakan salah seorang pelukis yang menyumbang karyanya untuk pameran amal Magnificent yang diadakan secara maya. Seramai 19 pelukis terlibat dalam pameran yang dijayakan oleh MIA itu.
MIA ialah sebuah institusi pengajian di negara ini yang menawarkan kursus-kursus pelbagai cabang seni.
Pameran tersebut diadakan bertujuan mengumpul dana untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan yang sanggup menggadaikan nyawa mereka bagi melawan penularan pandemik Covid-19 di negara ini.
Dapat dilihat rata-rata lukisan yang dipamerkan bertemakan pandemik itu.
Dalam pada itu, Aina yang juga merupakan bekas pelajar MIA berkata, dia begitu terkesan dengan pengorbanan petugas barisan hadapan terutamanya apabila seorang jururawat hospital di negara ini diberitakan meninggal dunia kerana Covid-19 baru-baru ini.
“Saya mungkin tidak mampu untuk menyumbang tenaga atau kepakaran dalam membendung pandemik Covid-19 yang berbahaya ini.
“Tetapi apa yang saya boleh sumbangkan adalah menerusi lukisan. Saya berharap jika lukisan ini terjual, hasilnya nanti dapat disumbangkan kepada petugas barisan hadapan,” ujarnya.
Aina berkata, dia mengambil masa hampir dua minggu untuk menyiapkan lukisan bagi pameran tersebut. Dia menggunakan medium pensel warna untuk menghasilkan lukisannya yang bertajuk Magnificences of The Frontliners.
Apa yang ingin disampaikan oleh Aina melalui lukisan tersebut adalah simbolik petugas-petugas barisan hadapan mempertaruhkan kesihatan mereka untuk orang lain dengan berhadapan virus yang berbahaya itu.
“Selain itu, melalui lukisan ini saya ingin menterjemahkan tentang gaya hidup atau norma baharu rakyat Malaysia untuk membendung penularan pandemik Covid-19.
“Walaupun kita harus hidup dengan norma baharu, melalui lukisan ini saya ingin memberi semangat dan harapan bahawa situasi sukar yang kita hadapi ini akan berakhir apabila tiba masanya,” bicaranya.
Dalam pada itu, seorang lagi pelukis yang menyertai pameran tersebut, Seow Fei Ding, 19, meluahkan rasa bangganya kerana turut terlibat untuk menjayakan pameran tersebut.
Fei Ding yang merupakan pelajar MIA menjelaskan, pameran itu juga unik kerana diadakan secara maya dan memberikannya satu pengalaman baharu.
“Saya berasa bangga kerana dapat menyertai pameran yang turut disertai pelukis-pelukis hebat lain yang memiliki lebih banyak pengalaman.
“Pameran ini menjadi satu medan untuk saya menonjolkan bakat dalam bidang lukisan,” jelasnya yang berasal dari Kuala Lumpur.
Lukisan yang dihasilkan oleh Fei Ding untuk pemeran tersebut bertajuk Love Never Stop.
Jelasnya, semasa pandemik Covid-19 ini, ramai orang terpisah sementara daripada keluarga dan juga rakan. Namun, keinginan untuk bertemu antara satu sama lain tidak berkesudahan.
Sama seperti cinta antara satu sama lain yang tidak pernah cukup, walaupun fizikal disekat, perasaan itu tidak akan hilang.
“Dalam lukisan ini, saya menggambarkan dua ahli keluarga yang berpelukan antara satu sama lain, tetapi pelukan itu dihalang dengan lembaran plastik bagi membendung pandemik Covid-19.
“Ini menunjukkan walaupun pelukan mereka terhalang, cinta antara mereka masih utuh dan kuat,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengarah pameran amal Magnificent, Liu Cheng Hua menjelaskan, pameran tersebut diadakan khas bagi mendedikasi dan menghargai petugas barisan hadapan yang cekal mengharungi cabaran berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Menurutnya, pameran tersebut adalah satu inisiatif yang dilakukan oleh Jabatan Seni Halus MIA dan mendapat sokongan Balai Seni Negara.
“Ini adalah pemeran kami kali kedua yang dilakukan secara maya.
“Pameran secara maya pertama kami telah lakukan pada bulan Mei lalu dan sambutan yang diterima amat baik. Oleh itu kami menggunakan kaedah yang sama untuk pameran amal Magnificent ini.
“Melalui pameran secara maya ini kami dapat memastikan norma baharu dapat dipatuhi di samping orang ramai pula boleh beramal dan menyumbang dengan membeli hasil-hasil karya yang dihasilkan pelukis,” ujarnya.
Menurutnya, seramai 19 pelukis yang terdiri daripada pensyarah, bekas pelajar dan pelajar MIA telah menyertai pameran tersebut.
Melalui pameran ini juga, hasil jualan 19 karya tersebut akan disumbang kepada Mercy Malaysia, lalu disalurkan kepada petugas barisan hadapan.
Jelasnya, sukarelawan Mercy Malaysia ini terdiri daripada doktor dan jururawat.
“Mereka adalah petugas barisan hadapan yang bukan sahaja menyumbang kepakaran dan tenaga untuk mengharungi penularan pandemik Covid-19, malahan turut membantu jika ada bencana-bencana alam yang lain,” katanya.
Tambahnya, melalui pameran tersebut, sebanyak 90 peratus hasil jualan setiap karya akan disumbang untuk petugas barisan hadapan. Ini bermakna kesemua pelukis yang terlibat dalam pameran tersebut hanya menerima sebanyak 10 peratus hasil jualan karya mereka.
“Harga untuk hasil karya bermula RM800 sehingga RM9,600.
“Jika kesemua karya ini terjual, jumlah keseluruhan dana yang kami akan peroleh adalah hampir RM51,550.
“Saya rasa bersyukur dan gembira kerana pelukis-pelukis yang menyertai pameran ini sanggup menyerahkan sehingga 90 peratus hasil jualan karya mereka untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan,” bicara Cheng Hua.
Tegasnya, pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah menyebabkan masyarakat dunia hidup dengan norma baharu. Begitu juga dalam dunia seni, apabila pameran lukisan secara maya perlu dilaksanakan bagi membendung penularan wabak tersebut.
“Saya gembira apabila pelukis-pelukis yang terlibat sudi untuk menyertai pameran secara maya ini.
“Melalui pameran maya, hasil-hasil karya pelukis ini boleh dilihat oleh orang ramai di mana-mana sahaja,” tegasnya.
Jelasnya, pameran Magnificent telah bermula sejak Disember lalu dan sambutan yang diterima amat baik apabila telah ada hasil-hasil karya pelukis yang telah terjual.
Cheng Hua menjelaskan, sepatutnya pameran tersebut tamat pada 29 Disember lalu, namun dilanjutkan sehingga 31 Januari ini bagi membolehkan lebih banyak hasil karya pelukis terjual.
“Pengunjung boleh melihat hasil-hasil karya ini pada bila-bila masa melalui pautan pameran tersebut.
“Sebenarnya, untuk pameran seni secara maya ini ia tiada tempoh masa berakhir secara tepat.
“Tetapi disebabkan ini adalah satu pameran amal untuk mengumpul dana, oleh itu kami harus menetapkan satu tempoh masa pameran bagi membolehkan dana tersebut disalurkan secepat yang mungkin,” terangnya.