fbpx

SELBIZ 2024 akan jadi ekspo terbesar lima tahun lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin Shari (tengah) merasmikan SELBIZ 2024 di Setia Alam baru-baru ini.

SHAH ALAM – Penganjuran Ekspo Usahawan Selangor 2024 (SELBIZ 2024) yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu berakhir dengan jayanya apabila mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan daripada para pengunjung dan usahawan.

Ekspo anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ini bukan sahaja menghimpunkan lebih 200 usahawan di bawah satu bumbung, malah membawa pelbagai pengisian dan aktiviti menarik buat orang ramai.

Memasuki tahun ketiga penganjurannya, SELBIZ 2024 kekal unik dengan cara tersendiri apabila membawakan pempamer terdiri daripada pelbagai industri termasuk pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan melalui kaedah perniagaan kepada pelanggan (B2C) atau perniagaan kepada perniagaan (B2B).

Sesuai dengan slogannya ‘Melangkah Lebih Jauh’, SELBIZ juga dijangka menjadi ekspo terbesar yang bakal dinanti-nantikan buat masyarakat khususnya di Lembah Klang dalam tempoh lima tahun lagi.

Yuzawati Yusof

Pengurus Pembangunan Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Yuzawati Yusof berkata, jenama SELBIZ bukan sahaja bakal menarik perhatian pengunjung dari dalam Selangor, malah dari luar negeri juga.

Katanya, dengan usaha berterusan untuk mengukuhkan jenama diikuti dengan perancangan bajet yang teliti, SELBIZ bakal mendapat penglibatan negara-negara luar bagi memacu ekonomi usahawan tempatan.

Jelas beliau, fokus penganjuran ­ekspo pada tiga tahun pertama ini adalah lebih kepada pemantapan jenama SELBIZ supaya dikenali oleh semua lapisan masyarakat sekali gus meyakinkan para usahawan untuk menyertai sebagai pempamer.

“Memandangkan SELBIZ baru masuk tahun ketiga, boleh kata kita masih di peringkat ‘bayi’ lagi. Banyak perkara kita boleh tambah baik dan usahakan untuk jadikan lebih mantap. Apa yang kami tekankan dan laksanakan selain kita nak kembangkan, adalah tumpukan pengukuhan jenama.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat dan informasi terkini mengenai projek hartanah dan komersial yang dibangunkan oleh PKNS.

“Jika usaha ini berterusan, Insya-Allah SELBIZ akan menjadi ekspo terbesar yang dinanti-nantikan oleh orang ramai dalam masa lima tahun lagi. Di peringkat awal, kita tumpukan usahawan dalam Selangor, kemudian di tahun kedua kita dapatkan pengli­batan luar Selangor, tahun seterusnya kita berharap dapat penglibatan dari negara-negara luar pula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ 2024) di Pusat Konvensyen Setia City Setia Alam, di sini, Sabtu lalu.

Tambah Yuzawati, pihaknya sangat berpuas hati dengan penyertaan penuh pempamer sejak pendaftaran dibuka awal Julai tahun ini sekali gus membuktikan jenama ekspo ini semakin diyakini oleh para usahawan.

Ujarnya, kepelbagaian dapat dilihat apabila penyertaan pempamer kali ini tidak tertumpu kepada usahawan PKNS semata-mata tetapi melibatkan agensi lain dalam Selangor seperti ­Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Yayasan Raja Muda Selangor.

Sudut petting zoo memberi peluang kepada kanak-kanak memegang dan mendekati hidupan jinak.

“Kita juga ada pempamer dari luar Selangor seperti Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED),” katanya.

Sabtu lalu, ekspo itu dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir diiringi Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd. Najwan Halimi serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS, Suhaimi Kasdon.

Penganjuran SELBIZ merupakan salah satu inisiatif tambahan daripada pelbagai program anjuran PKNS untuk menyokong dan memartabatkan para usahawan di negeri ini sejajar memperkukuhkan taraf sosio­ekonomi negara.

Bagi merancakkan lagi suasana dan menarik lebih ramai pengunjung, PKNS melengkapkan pengisian ekspo dengan pelbagai acara yang dibahagikan kepada beberapa segmen dan aktiviti seperti Konsert Gempak@SELBIZ yang menampilkan artis popular, Pesta Rasa, Hari Sukan SELBIZ, SELBIZ Ceria dan zon kanak-kanak.

Sebahagian daripada peserta SELBIZ Obstacle Run yang telah mendapat sambutan baik daripada pengunjung.

Bukan itu sahaja, terdapat juga acara Selawat@SELBIZ, Segmen Interaktif, kaunter pemeriksaan kesihatan Selcare, Sembang Niaga, Padanan Perniagaan, Klinik Usahawan Selangor dan kaunter perkhidmatan bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

Sepanjang ekspo ini berlangsung, PKNS turut menyediakan segmen pemadanan perniagaan bagi pasaran domestik, eksport dan juga agensi pembiayaan bagi orang ramai mendapatkan informasi berkaitan pinjaman dan keusahawanan.

Mengenai penambahbaikkan pada SELBIZ 2024, Yuzawati berkata, kerjasama pertama bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Se­langor (PKPS) untuk menganjurkan Jualan Ehsan telah merancakkan lagi kehadiran para pengunjung yang ingin membeli produk-produk runcit pada harga murah dan berpatutan.

“Dari segi segmen sihat juga kita masih kekalkan acara larian tapi bezanya kali ini kita datangkan sedikit cabaran dan halangan yang dikenali sebagai SELBIZ Obstacle Run 2024. Bukan itu sahaja, kita juga ada ‘mini futsal’ dan bola jaring.

“Dalam pemadanan perniagaan pula, jika tahun lepas kita hanya bawakan domestik dan pembiayaan sahaja, tetapi tahun ini kita tambah eksport dengan menjemput ‘linker’ dan ‘trader’ untuk membantu usahawan memasarkan produk mereka ke luar negara.

“Kelainan pada tahun ini, kita turut bawakan kereta elektrik untuk pengunjung cuba pandu termasuklah reruai motosikal. Kesimpulannya SELBIZ 2024 penuh dengan kepelbagaian, tidak hanya fokus kepada makanan dan minuman,” katanya.

Dalam pada itu, Yuzawati berkata, penganjuran ekspo ini diharap dapat menjadi platform buat para usahawan untuk ‘melangkah’ lebih jauh bukan sahaja pasaran peruncitan dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Katanya, penyertaan berulang dalam kalangan pempamer dari tahun-tahun sebelum ini membuktikan bahawa mereka sudah mulai yakin untuk menyertai ekspo lebih besar pada masa akan datang.

“Pelbagai usaha untuk kita bantu pempamer termasuklah mem­belanjakan sejumlah peruntukan agar setiap pengunjung yang hadir boleh mendapatkan mata ganjaran menerusi aplikasi PKNS Loyalty+.

“Dengan adanya segmen seperti Klinik Usahawan Selangor, kita berharap usahawan mengambil peluang sedia ada untuk kembangkan ‘sayap’ mereka,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI