fbpx

GISBH: Akidah 261 kanak-kanak dipulihkan sejak awal Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal tersebut menerusi Op Global baru-baru ini.

SHAH ALAM – Proses pemulihan akidah dan sosial melibatkan 261 kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISB Holding (GISBH) telah dimulakan sejak 1 Oktober lalu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, modul khas digunakan dalam proses pemulihan itu yang dibangunkan MAIS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS).

Katanya, MAIS mengambil tindakan sejak 23 September lalu bagi membangunkan pelan tindakan penyediaan bantuan pemulihan akidah dan sosial kepada kanak-kanak GISBH.

“Sehingga kini, seramai 20 guru al-Riqab MAIS mengajar di rumah kebajikan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). MAIS sentiasa mengutamakan kebajikan dan keselamatan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, MAIS melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) turut menyalurkan keperluan asas termasuk berkaitan solat untuk kanak-kanak tersebut.

Tegas Abdul Aziz, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan pemulihan akidah dan bimbingan agama terhadap ahli GISBH.

“Perkhidmatan perlindungan bimbingan, pemulihan rawatan spiritual Islam dan kaunseling kepada individu dan kumpulan umat Islam turut dilaksanakan melalui Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman dan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan.

“Selain itu, MAIS turut mempunyai 26 rumah pemulihan al-Riqab yang bersedia membantu pemulihan ahli GISBH dengan modul yang sama,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi perancangan jangka panjang pula, mereka yang mengikuti proses pemulihan boleh menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ini termasuk sama ada untuk tujuan pembangunan sosial, kebajikan, pendidikan dan ekonomi bergantung kepada syarat tertentu.

“MAIS turut menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM dan agensi yang berkaitan bagi menyelaras tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya.

“Selain itu, beberapa Jawatankuasa MAIS sedia ada termasuk Jawatankuasa Bertindak Ancaman Akidah, Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Wanita, Jawatankuasa Dakwah, Jawatankuasa Pengawalan Akidah dan Jawatankuasa Riqab memainkan peranan bagi memperkasa usaha membanteras ajaran sesat, usaha dakwah dan proses pemulihan,” katanya.

Tambah Abdul Aziz, usaha dakwah dan kesedaran giat dilakukan melalui Bahagian Dakwah JAIS bagi memastikan mereka di luar sana terus dibimbing dan tidak terjebak dengan ajaran tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI