fbpx

‘Hot Daddy’, dua wanita kena waran tangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasli Ikhwan ketika hadir di Mahkamah Majistret dan Sesyen Mac lalu. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ dan dua rakan wanitanya dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin mengeluarkan waran tangkap itu ke atas Hot Daddy atau nama sebenarnya Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, serta dua wanita iaitu Norhidayah Mahadi, 24, dan Norshazrina Md Zamri, 27, selepas ketiga-tiga tertuduh tidak hadir pada sebutan kes itu hari ini.

“Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 8 November ini,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X di mana orang yang munasabah akan memahaminya sebagai khidmat persundalan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Bukit Aman di sini pukul 10.10 pagi pada 16 Januari lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca dibawah Seksysn 34 kanun yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Sebelum ini ketiga-tiga tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan memohon waran tangkap dikeluarkan kepada ketiga-tiga tertuduh berikutan mereka gagal hadir ke mahkamah hari ini. Pada masa sama penjamin juga tidak hadir ke mahkamah.

Semasa prosiding hanya peguam Muhammad Faris Abrar Othman, yang mewakili ketiga-tiga tertuduh.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Suzana Hussin turut mengeluarkan waran tangkap terhadap tertuduh Norshazrina kerana tidak hadir pada prosiding kes itu yang ditetapkan untuk sebutan hari ini.

Mengikut pertuduhan, Norshazrina didakwa atas pertuduhan memiliki bahan lucah yang bertentangan dengan kesopanan awam di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini pukul 4 petang, 22 Januari mengikut Seksyen 5 (1)(a) Akta Penapisan Filem 2002.

Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI