fbpx

Polis ‘pau’ pasangan berkhalwat RM300, dipenjara 2 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seorang anggota polis diperintah menjalani hukuman penjara dua tahun manakala seorang pemandu selama setahun atas kesalahan menerima rasuah RM300 daripada satu pasangan bukan Islam agar tindakan tidak diambil terhadap mereka kerana berdua-duaan dalam kereta, 10 tahun lalu.

Mahkamah Rayuan memutuskan demikian terhadap Lans Koperal Muhamad Faisal Ahmad Ghapur, 39, dan Muhammad Azizul Hakim Hasnan, 33, selepas menolak rayuan akhir mereka, hari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara turut mengekalkan denda RM10,000 atau penjara enam bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin turut mengeluarkan waran komital dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Ahmad Zaidi berkata, sabitan terhadap kedua-dua perayu adalah selamat untuk dikekalkan kerana keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan melimpah ruah untuk mensabitkan mereka.

Mahkamah berpendapat, hukuman yang dijatuhkan tidak keterlaluan manakala tidak wujud kekhilafan berkaitan perbezaan hukuman penjara melibatkan kedua-duanya kerana status perayu pertama yang merupakan penjawat awam.

Menurut Hakim Ahmad Zaidi, tidak wujud percanggahan yang ketara di antara tiga saksi pendakwaan (SP4, SP8 dan SP19) dan jika wujud sekalipun, ia hanya percanggahan kecil.

Koram berkenaan turut bersetuju bahawa saksi SP19 bukan rakan sejenayah dan keterangannya tidak sepatutnya ditolak kerana ia disokong oleh SP4 dan SP8.

Mahkamah juga berpuas hati bahawa hakim bicara tidak tersalah arah ketika merujuk kepada perkataan ‘pau’ (bahasa Kantonis) yang menjadi teras kepada sabitan.

Jelas Hakim Ahmad Zaidi, keterangan pakar tidak perlu dikemukakan bagi menjelaskan maksud perkataan tersebut kerana ia lazimnya digunakan bagi menunjukkan wang diambil secara paksa.

Menurut pertuduhan, kedua-duanya didakwa bersama-sama menerima rasuah daripada pasangan tersebut agar Muhamad Faisal tidak mengambil tindakan terhadap mereka kerana berdua-duaan dalam kereta Proton Perdana dalam keadaan mencurigakan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 7.10 malam, 20 Mac 2014 di kawasan perindustrian Taman Farmaseutikal, Bandar Seri Iskandar, Perak.

Muhamad Faisal diwakili peguam Chris Kooi Wei Kit dan Ivy Chin Ai Wei manakala Muhammad Azizul diwakili M. Saravanan. Pihak responden diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan, Wirna Rifin, Mohd. ‘Afif Ali dan Nurul Qistini Kamarul Abrar.

Terdahulu, pihak perayu menghujahkan agar mahkamah berhati-hati dengan keterangan SP19 (orang awam) yang disifatkan sebagai rakan sejenayah manakala perkataan ‘pau’ yang dirujuk oleh hakim bicara sebagai peras ugut memerlukan keterangan saksi pakar bagi menjelaskannya.

Bagaimanapun, Farah Ezlin berhujah bahawa wujud permintaan wang daripada perayu pertama yang turut didengari oleh SP19 yang membuktikan kedua-dua perayu memang berniat untuk mendapatkan wang daripada pasangan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI