fbpx

Blok K lonjak kapasiti kontena Northport

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman Shah (dua dari kiri) pada majlis pelancaran lapangan kontena terbaharu Northport yang dikenali sebagai Blok K di Pelabuhan Klang baru-baru ini.

PETALING JAYA – Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), ahli Kumpulan MMC, mengumumkan penyempurnaan kerja pembinaan lapangan kontena terbaharunya, yang dinamakan sebagai Blok K.

Lapangan kontena baharu dengan 2,016 TGS (Jumlah Slot Tapak) itu memberi tambahan kapasiti sebanyak 662,256 TEU (Unit Bersamaan Dua Puluh Kaki) berdasarkan hari simpanan selama lima hari, meningkatkan kapasiti keseluruhan lapangan kontena Northport kepada 6,150,250 TEU setahun.

Pembinaan kemudahan terminal berkenaan bermula pada 14 Ogos 2023 dan siap 51 hari lebih awal daripada jadual asal, mencerminkan prestasi cemerlang kontraktornya, iaitu MMC Engineering Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, projek pembangunan Blok K adalah sebahagian daripada inisiatif Reinventing Northport dan memberi lonjakan ketara kepada keupayaannya dalam menyediakan perkhidmatan pelabuhan bertaraf dunia.

“Berdasarkan pencapaian setakat ini, kami optimis bersama-sama dengan Westports, Pelabuhan Klang akan menjadi antara 10 pelabuhan paling sibuk di dunia menjelang akhir tahun 2024.

“Pencapaian ini bukan sahaja akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap ma­ritim global, tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi yang le­bih besar untuk negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Selaras dengan komitmen Northport terhadap kelestarian, lapangan kontena baharu itu akan disokong dengan penggunaan jentera kren mesra alam, Electrified Rubber Tyred Gantry (E-RTG).

Northport telah membuat pembelian sebanyak 12 unit E-RTG untuk operasi di Blok K, yang mana lapan unit pertama dijangka tiba pada Disember ini, manakala baki empat unit lagi akan tiba menjelang Mac 2025.

Pembinaan Blok K adalah antara komponen utama dalam Reinventing Northport yang diperkenalkan sejak pengambilalihan Northport oleh MMC Corporation Berhad pada Januari 2016 bertujuan menangani isu yang lama diwarisi termasuk produktiviti rendah, jumlah kendalian menurun dan peralatan jentera yang lama. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI